Ratunaga

Warga Pendidik wajib diberi keutamaan vaksin Covid-19

Warga pendidik juga wajar diberi keutamaan dalam pemberian vaksin Covid-19, memandangkan golongan ini paling banyak menghabiskan masa bersama anak murid apabila sekolah dibuka kelak.
Pakar pendidikan, Ismi Arif Ismail, berkata pengumuman sebelum ini bahawa kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah tidak akan diberikan suntikan vaksin Covid-19 buat masa ini, kerana buat permulaan barisan hadapan dan warga emas akan diberi keutamaan dikhuatiri akan merisikokan mereka.
“Jadi, kita hendak memastikan yang anak-anak ini terpelihara daripada wabak itu. Oleh itu, warga pendidik ini perlu diberikan pertahanan diri.
“Tambahan pula, guru dan anak murid akan menghabiskan masa yang agak lama dalam sesi persekolahan, jadi sewajarnya guru ini dilindungi supaya anak-anak murid yang akan bersama mereka berasa selamat,” katanya kepada Bernama.
Ismi Arif, yang juga pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Putra Infoport di Universiti Putra Malaysia, berkata keadaan itu sekali gus akan membuang perasaan takut ibu bapa, untuk menghantar anak mereka ke sekolah.
“Ibu bapa juga harus diyakinkan bahawa sekolah telah mengambil langkah-langkah awal keselamatan, sebelum anak-anak ini diberi kebenaran untuk ke sekolah,” katanya.
Pada Selasa, Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Henrietta Fore mengesyorkan guru diutamakan untuk memperoleh vaksin Covid-19, selepas petugas barisan hadapan, dan kumpulan berisiko tinggi.
Beliau dilaporkan berkata itu dapat memastikan usaha untuk meneruskan pembelajaran kanak-kanak di seluruh dunia.
Turut senada, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan, yang berpendapat, kesiapsiagaan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya atau dalam talian ‘belum cukup sempurna’.
Selain itu, katanya, guru juga lebih selesa mengadakan sesi PdP secara konvensional, iaitu bersemuka bersama murid-murid.
Malah, Ali juga menyifatkan warga pendidik sebagai golongan barisan hadapan, kerana mereka berjuang memperkasakan pendidikan negara.
“Sumbangan dan peranan mereka amat besar kerana pendidikan adalah satu sektor utama yang penting, dalam membentuk masa depan negara,” katanya.
Beliau menyarankan agar golongan pendidik terutama yang mempunyai masalah kesihatan, bekerja di luar bandar atau yang berada di kawasan sesak menjadi kriteria utama sebagai penerima vaksin ini.
Tidak ketinggalan, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang berpandangan, pemberian vaksin itu akan memberi perlindungan kepada warga guru.
“Kita mendapati sesi pembelajaran secara pembelajaran di rumah dalam talian mempunyai banyak kelemahan, seperti peranti atau gajet yang tidak mencukupi, kelemahan jaringan internet, masalah disiplin dan kehadiran pelajar yang menyebabkan sesi PdP secara dalam talian terganggu.
“Langkah ini bagi memastikan murid-murid tidak terus tercicir dan sesi persekolahan dapat dibuka semula,” katanya dalam kenyataan.
NUTP memohon pertimbangan khas daripada kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM), agar warga pendidik diutamakan untuk pemberian vaksin Covid-19 demi meningkatkan dan memperkasakan sistem pendidikan negara.
Sumber: Freemalaysiatoday

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular