Ratunaga

Top 6 Kejadian Banduan Larikan Dari Penjara Yang Berjaya Dirakam CCTV

prison break

Sejak lama dahulu, banduan cuba untuk melarikan diri dari penjara sejak ia dicipta dengan pelbagai cara.

Jika anda menonton siri drama seperti Prison Break, sudah tentu anda tahu bahawa melarikan diri dari penjara bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi tidak mustahil.

Namun, kebanyakan daripada cubaan melarikan diri ini berakhir dengan kegagalan.

Walaupun begitu, ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana pelbagai kes berjaya melarikan diri di seluruh dunia direkodkan.

Dan dengan adanya kamera pengawasan, anda bukan sahaja dapat membaca tentang kes melarikan diri melalui akhbar dan internet sahaja, tetapi juga melihat dengan mata sendiri.

iluminasi.com kongsikan 6 kes melarikan diri dari penjara yang direkod kamera dan CCTV.

1. Lari dari penjara dengan helikopter

larikan diri dari penjara guna helikopter

Prison break terutamnya yang dipaparkan dalam filem adalah sangat teliti di mana setiap perkara diambil kira dan setiap langkah dirancang dengan berhati-hati. Namun dalam kehidupan sebenar, ia tidaklah begitu mengagumkan.

Rakaman di bawah menunjukkan banduan Danny Provençal dan Benjamin Hudon-Barbeau kelihatan bersungguh-sungguh memanjat tali yang tergantung dari helikopter yang dirampas yang mendarat di atas bumbung di penjara Saint-Jérôme di Kanada. 

Ia hampir kelihatan seperti filem James Bond namun apa yang sepatutnya menjadi cubaan melarikan diri dari penjara dengan pantas berlangsung selama enam minit. Apa yang menariknya adalah para pengawal penjara hanya membiarkan situasi itu berlaku.

Adakah para pengawal tersebut ingin melihat sama ada kedua-dua banduan tersebut dapat melakukannya? Tidak, mereka sebenarnya tidak mempunyai senjata untuk melawan penjenayah tersebut yang bersenjata, jadi para pengawal penjara memilih untuk tidak mengambil risiko.

Dan walaupun dua banduan itu berjaya melarikan diri dibantu oleh rakan jenayah, mereka akhirnya ditangkap hanya beberapa jam selepas melarikan diri.

2. Serangan jentolak

lari dari penjara guna jentolak

Pada tahun 1995, 12 orang banduan telah melarikan diri dari penjara di Copenhagen. Dalam insiden ini, mereka tidak perlu menggali terowong atau mencuri helikopter, sebaliknya mereka menggunakan jentolak.

Mesin pembinaan yang dahsyat itu dipandu dan menghentam tembok penjara yang kukuh, menyebabkannya ia hancur sepenuhnya.

12 banduan tersebut kemudiannya bergegas keluar melalui lubang tersebut dan tiga daripada mereka berjaya ditangkap serta-merta bersama-sama dengan seorang lelaki yang sedang merakam insiden itu.

Pihak berkuasa percaya bahawa lelaki tersebut mengetahui tentang serangan tersebut sebelum ia berlaku.

Pihak polis berkata bahawa banduan-banduan tersebut cuba untuk melarikan diri dari penjara untuk menonton perlawanan bola sepak yang berlangsung di sebuah stadium berhampiran.

Ini membuktikan bahawa penjara pun tidak dapat menghalang anda jika anda seorang peminat bola sepak yang tegar.

3. Banduan rakam “Prison break” dengan terperinci

banduan rekod video lari dari penjara

Tiga banduan di sebuah penjara di California merakam rancangan melarikan diri dengan begitu terperinci menggunakan telefon bimbit.

Video berdurasi 15 minit yang disunting dengan begitu teliti itu merangkumi kisah salah seorang banduan yang dikatakan menerangkan secara terperinci bagaimana mereka melakukannya.

Mereka juga membuat rujukan tentang ahli silap mata Harry Houdini dan triknya yang popular.

Banduan tersebut iaitu Adam Hossein Nayeri memberitahu bahawa mereka menggunakan tali yang kuat, baju, kasut dan beberapa barangan lain untuk melarikan diri.

Untuk keluar dari bilik penjara, mereka memotong gril pengudaran besi, mengakses sistem bekalan air bangunan itu dan kemudiannya memanjat naik ke bumbung.

Tidak pasti bagaimana mereka berjaya turun dan melarikan diri dari penjara, tetapi Adam dan dua yang lain bersembunyi dari buruan polis selama seminggu sehinggalah mereka diberkas semula.

4. Tindakan pantas membuahkan hasil

michael maldonado larikan diri dari penjara

Kadang-kala, cara untuk melarikan diri dari penjara dengan jayanya adalah dengan melakukannya dengan sepantas dan senekad yang mampu.

Video ini dirakam di penjara Porter County di Amerika Syarikat, lokasi di mana pihak polis memindahkan banduan bernama Michael Maldonado.

Pada hari berkenaan, Maldonado cuba untuk melarikan diri beberapa kali dan akhirnya berjaya melakukannya.

Ketika kejadian, pegawai polis yang bertanggungjawab meminta bantuan pegawai penjara untuk proses pemindahan namun tiada sesiapa pun yang membantu.

Maldonado menunggu pada saat yang tepat untuk keluar dari kereta polis dan melarikan diri ke arah pintu garaj yang sedang tertutup dengan menunduk pantas dan kemudiannya hilang dalam sekelip mata.

Pintu tersebut mengambil masa yang agak lama untuk dibuka membuatkan dua pegawai polis tersebut tidak dapat mengejar Maldonado dengan serta-merta.

Mereka mendakwa menekan butang pintu berkali-kali dan cuba membuka pintu sendiri namun ia memakan masa.

Ketika para pegawai polis itu bergelut membuka pintu, Maldonado berjaya melarikan diri. Dan walaupun mencari selama dua jam dengan bantuan anjing pengesan, mereka gagal menemui Maldonado.

Walaupun begitu, kebebasan yang dinimati Maldonado tidak kekal lama apabila dia ditangkap keesokan harinya

5. Keluar melalui tingkap

Cubaan melarikan diri melalui tingkap kedengaran seperti mudah, namun ia tidaklah semudah yang disangka jika tingkap itu berukuran 76cm x 30cm, melainkan anda seekor kucing.

Derrick Estelle berusia 34 tahun dan menjalani hukuman penjara atas jenayah merampas sebuah kereta dan terlibat dalam insiden tembak-menembak dengan polis peronda. 

Namun, dia tidak berminat untuk kekal di penjara. Estelle membuat perancangan yang agak pelik dengan dua banduan yang lain.

Ketika salah seorang daripada mereka mengganggu perhatian pihak polis, Estelle melompat keluar melalui sebuah tingkap dan melarikan diri.

Sebelum itu, dia kelihatan bercakap telefon yang mana mungkin sebahagian daripada rancangan tersebut.

Dalam masa yang singkat, Estelle melompat keluar, memasuki sebuah kereta dan memandu ke arah yang tidak diketahui.

Ia berlaku dengan begitu pantas sehinggakan tiada pengawal penjara yang cukup pantas untuk bertindak. Estelle dan dua lagi banduan diisytiharkan sebagai buruan polis serta-merta.

6. “Menukar” jantina

clauvino da silva lari dari penjara dengan menyerupai anak perempuannya

Seorang ahli gangster Brazil bernama Clauvino da Silva cuba melarikan diri dari penjara dengan menyamar sebagai anak perempuannya sendiri.

Mungkin beranggapan bahawa adalah sangat sukar untuk penjenayah berusia 42 tahun menyamar sebagai anak perempuannya yang berusia 19 tahun, namun Clauvino agak kreatif.

Dia memakai topeng silikon, rambut palsu, pakaian anak perempuannya iaitu baju berwarna merah jambu dan seluar jeans ketat, serta cermin mata.

Penyamaran itu sepatutnya menjadi tiket kepada kebebasan Clauvino kerana pekerja penjara percaya bahawa anak perempuannya sepatutnya tinggal di penjara menggantikan ayahnya.

Bayangkan anda melawat ayah anda di penjara dan anda pula yang dipenjarakan.

Walaupun merancang dengan begitu teliti, akhirnya pengawal penjara berasa ragu-ragu dengan penyamaran tersebut membuatkan Clauvino dibawa semula ke selnya. 

Pengawal penjara kemudiannya merakam setiap butiran pakaiannya.

Ini bukanlah cubaan melarikan diri dari penjara yang pertama bagi Clauvino, di mana dia pernah melakukannya melalui saluran pembetungan bersama-sama 30 banduan lain tetapi berjaya dipatahkan.

Tiga hari selepas cuba menyamar sebagai anaknya untuk lari dari penjara, Clauvino ditemui mati dipercayai dengan menggantung dirinya.

Rujukan:

1. CBC

2. BBC

3. Indian Express




Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular