Ratunaga

Sisi Gelap 7 CEO Syarikat Teknologi Terkenal Dunia

Ramai antara kita yang memandang tinggi dan mengagumi beberapa orang CEO (Chief Executive Officer atau Ketua Pegawai Eksekutif) terkenal dunia. Mereka dijadikan idola dan dianggap sebagai golongan hebat kerana kejayaan luar biasa yang dikecapi.

sisi gelap ceo syarikat terkemuka gergasi besar dunia

Namun, realitinya mungkin berbeza terutamanya bagi mereka yang pernah bekerja di bawah golongan CEO ini. Tidak dinafikan mereka mungkin orang yang hebat tetapi terdapat sisi lain CEO-CEO ini yang tidak diketahui ramai. Berikut adalah beberapa kisah CEO-CEO yang dianggap menakutkan oleh pekerja sendiri. 

1. Jeff Bezos – Amazon

jeff bezos ceo menakutkan

Jeff Bezos mempunyai standard yang sangat tinggi dan mengharapkan setiap pekerja Amazon dapat memenuhinya. Sekiranya Bezos menghantar e-mel kepada pekerjanya, mereka perlu mencari jalan penyelesaiannya atau bakal menghadapi masalah besar.

Pernah menjadi manusia terkaya dunia, Bezos juga dikatakan mudah berang dengan pelbagai perkara. Selain mengherdik, menjerit dan menggunakan kata-kata yang memedihkan, Bezos juga sering mengejek pekerjanya dengan soalan-soalan memalukan. Antaranya adalah seperti:

Adakah anda malas atau tidak berguna?

Maaf, adakah anda terlupa makan pil bodoh hari ini?

Mengapa anda suka membazirkan hidup saya?

2. Elon Musk – Tesla & SpaceX

elon musk ceo menakutkan

Lelaki terkaya dunia juga tidak terkecuali dalam senarai ini. Musk dikatakan sebagai seorang yang sering menimbulkan masalah kepada pekerjanya. Dia terkenal kerana sering menukar skop pekerjaan bagi pekerja-pekerja Tesla atau memberhentikan mereka tanpa sebarang notis.

Malah, pekerja SpaceX juga sudah biasa dengan sikap Musk yang dingin dan kurang emosi. CEO itu dikatakan pernah menjerit kepada beberapa pegawai SpaceX sebelum satu majlis di hadapan ahli keluarga mereka disebabkan kelewatan dalam projek pembinaan roket.

Steve Davis, salah seorang pekerja terbaik SpaceX berkongsi bagaimana dia sendiri berhadapan dengan emosi Musk yang dingin. Davis telah membangunkan satu bahagian roket bernilai RM 485,000 tetapi berjaya menjimatkan sehingga RM 470,000 melalui kontaktor pihak ketiga.

Apabila Davis menulis e-mel dengan penuh bersemangat kepada Elon Musk memperincikan apa yang dianggapnya sebagai pencapaian terbesar di SpaceX, ketuanya itu hanya membalas dengan dua huruf sahaja, “OK”.

3. Steve Jobs – Apple

steve jobs ceo teknologi yang menakutkan

Mendiang Steve Job sememangnya terkenal kerana sering membuli, menghina dan menakut-nakutkan pekerjanya. Dia digambarkan sebagai seorang yang kasar dan panas baran. Jobs juga tidak teragak-agak memarahi pekerjanya di hadapan khalayak ramai.

Bahkan, beberapa eksekutif tertinggi seperti Rob Johnson (pencipta Apple Store) dan Alison Johnson (bekas naib presiden) telah meninggalkan Apple kerana tidak dapat bertahan bekerja bersama Jobs.

Steve Jobs mempunyai aturannya sendiri dan mengharapkan semua orang mengikutinya tanpa soal. Sesiapa yang melanggar atau mempunyai pendapat berbeza akan dipecat dengan serta-merta.

Jobs juga suka bertindak tanpa menerangkan sebarang alasan yang munasabah dan sering mempersoalkan tahap kecerdasan para pekerjanya.

4. Evan Spiegel – Snapchat

evan spiegel ceo menakutkan

Evan Spiegel adalah CEO kepada Snap Inc. yang membangunkan aplikasi Snapchat. Para pekerjanya mendakwa  Evan menguruskan syarikat seperti seorang diktator, menyebabkan budaya kerja di Snap Inc. dipenuhi “racun” dan sikap “tikam belakang”. Bekerja di situ juga dikatakan tidak ubah seperti “berenang dalam kolam dipenuhi jerung”.

CEO itu juga terlalu berahsia dan tidak pernah mendengar nasihat atau pandangan. Dia juga sering memaksa pekerjanya membuat sesuatu di luar bidang mereka sebelum dipecat kerana tidak mahir.

Selain itu, Evan juga menjalankan sistem “pilih kasih” yang mendorong para pekerjanya terlibat dalam “politik pejabat” bagi mendapatkan kepercayaannya berbanding prestasi kerja. Ramai eksekutif atasan Snap Inc. meletakkan jawatan kerana tidak dapat bekerjasama dengan CEO itu.

Namun, Evan sedar bahawa dia mempunyai masalah dalam kepimpinan dan berusaha memperbaiki dirinya. Dia pernah terlibat dalam latihan pengurusan dan melakukan tinjauan dengan bertanya kepada para pekerjanya bagaimana dia mampu menjadi CEO yang lebih baik.

5. Larry Ellison – Oracle

ceo oracle larry ellison

Larry Ellison merupakan bekas CEO, pengasas dan Pengerusi semasa Oracle. Ellison terkenal kerana sering mengejek rakan perniagaan serta pesaingnya secara terbuka.

Malah, dia juga tidak digemari oleh eksekutif atasan yang lain kerana perangainya. Kebiasaannya, Ellison akan hadir sejam lebih lewat pada setiap mesyuarat yang diadakan.

Ellison juga gemar memecat eksekutif atasannya sebaik sahaja mereka hampir layak untuk menerima pegangan saham seperti yang dinyatakan dalam kontrak. Bekas CEO itu juga memecat eksekutif tertinggi apabila mereka menjadi cukup berpengaruh untuk menggantikannya.

Salah seorang mangsanya ialah Ray Lane yang pernah menyelamatkan Oracle daripada muflis. Ray dipecat Ellison kerana dia mula menarik perhatian pemegang saham Oracle.

6. Tim Armstrong – AOL

tim armstrong ceo aol

Salah seorang bekas pekerja AOL menggambarkan Tim sebagai seorang “pengurus robotik dan sosiopatik”. Ini kerana Tim akan memecat pekerjanya sambil tersenyum tanpa belas kasihan.

Menurutnya lagi, Tim akan mengumumkan perincian mengapa dia memecat seseorang itu dalam memo dalaman yang dapat dibaca semua pekerja. Tim juga gemar mengherdik dan mengejek pekerjanya di khalayak ramai walaupun atas kesalahan kecil.

Dalam satu kejadian, Tim memecat seorang pekerja kerana mengambil fotonya semasa persidangan. Tim berulang kali menjerit kepada lelaki itu dan mengarahkannya keluar dari dewan.

Dalam persidangan yang sama juga, CEO itu turut memperlecehkan dua pekerja wanitanya kerana melahirkan bayi yang sakit. Dia mendakwa bil hospital mereka menelan belanja syarikat sebanyak USD 2 juta.

7. Mark Pincus

mark pincus ceo zynga

Mark Pincus merupakan pengasas bersama, bekas CEO dan kini Pengerusi syarikat perjudian internet, Zynga. Ketika menjadi CEO, pekerjanya mendakwa Mark merupakan seorang yang suka mengawal dan menakutkan. Mark telah menyebabkan suasana bekerja di Zynga menjadi begitu teruk.

Mark mula terkenal sebagai CEO yang teruk apabila dia memaksa para pekerjanya untuk menyerahkan stok saham mereka pada 2010 sebelum Zynga diperkenalkan pada pasaran umum. Dia menyerahkan semula stok saham pekerjanya tetapi begitu sedikit sehingga mereka menganggap pulangan itu sebagai satu penghinaan.

Pemerintahan kejam Mark Pincus berakhir pada 2013 apabila para pemegang saham menaikkan pangkatnya kepada Pengerusi agar dia tidak lagi terlibat dalam mengurus Zynga secara langsung. Semua pekerja berasa sangat gembira. Malah, saham syarikat Zynga turut melonjak naik sejurus selepas pengumuman itu dibuat.




Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular