Ratunaga

Sejarah Fenomena Simbol Capal Rasulullah di India – Gerakan Barelvi

sejarah simbol capal di india

Simbol mirip capal Rasulullah saw. merupakan antara simbol yang kerap diangkat dalam beberapa gerakan besar masyarakat Islam di seluruh dunia.

Di negara kita juga ada beberapa pihak yang cuba mempromosikan penggunaan logo berasaskan kepada capal Rasulullah saw., sebagai satu bentuk peringatan memudahkan kita mengenang Baginda.

Majoriti masyarakat Muslim di beberapa buah negara seperti India dan Pakistan meletakkan simbol tersebut ke satu tahap yang agak tinggi, sehinggakan penggunaannya berlaku secara meluas dalam aktiviti harian.

Antara kumpulan aliran Islam yang paling kerap menggunakan simbol tersebut adalah aliran Barelvi yang aktif di India, Pakistan, Mesir dan Syria mempunyai lebih 200 juta pengikut.

Apakah aliran Barelvi?

barelvi capal simbol rasulullah 274

Aliran Barelvi atau turut dikenali sebagai Barelwi merupakan cabang aliran Islam yang berpegang kepada Mazhab Hanafi, dinamakan sempena lokasi kelahiran pemimpin utama mereka iaitu Ahmad Raza Khan (gambar atas, kiri) – sebuah pekan bernama Bareilly terletak di utara India.

Ahmad Raza seorang lelaki berketurunan Pathan lahir pada tahun 1856, berasal dari Lahore sebelum keluarganya berpindah ke Bareilly. Sejak kecil beliau sudah diasuh untuk menjadi seorang ulama’ oleh ayahnya, seorang ahli agama terkenal di kawasan itu yang bernama Naqi Ali Khan.

Pada usia 20 tahun, Ahmad Raza mula berdebat dengan ulama-ulama ternama di India dari aliran Deobandi yang telah muncul lebih awal, memulakan gerakan kecil-kecilan mencabar aliran tersebut di India pada awal abad ke 20.

Idea reformasi yang dibawa oleh Ahmad Raza menggalakkan gerakan pembaharuan terhadap doktrin yang telahpun dibawa aliran Deobandi seterusnya membudayakan tradisi perdebatan, berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan Ahmad Raza sendiri yang sering mencabar ajaran Deobandi secara terbuka.

Perseteruan dan cabaran ini mula memuncak selepas Ahmad Raza nekad menamakan 4 orang ulama’ utama dan juga pengasas aliran Deobandi sebagai sesat, kafir dan wahhabi setara dengan Mirza Ghulam Ahmad, pengasas gerakan Ahmadiyyah yang juga dipercayai sesat, oleh pengikut Deobandi.

barelvi capal simbol rasulullah2

(gambar atas kiri berserban merah adalah wajah anak kepada Ahmad Raza, Akhtar Raza Khan)

Dakwaan Ahmad Raza berat; dia menamakan pemimpin Deobandi mengajar anak muridnya untuk tidak mempercayai Rasulullah saw. adalah Rasul terakhir serta menamakan semua pengikut Deobandi sebagai pengikut Syaitan kerana gagal memuliakan Rasulullah saw. ke tahap yang sepatutnya.

Selepas pewartaan fatwa oleh Ahmad Raza pada tahun 1902 yang mengkritik pemimpin utama aliran Deobandi ini, perseteruan panjang di antara dua kumpulan ini mula memecahkan pegangan masyakarat Muslim di India. 

Perpecahan ini berakar umbi sehingga sekarang.

Sudah berulang kali insiden yang mengakibatkan kecederaan atau kematian individu baik dari aliran Brelvi ataupun Deobandi disebabkan ketaksuban mereka mempertahankan aliran yang dipegang, berlaku di India, Bangladesh dan Pakistan. 

Dalam insiden tahun 2011 di Pakistan, seorang bekas pegawai polis yang bertugas sebagai pengawal keselamatan peribadi bernama Mumtaz Qadri, pengawal Gabenor negeri Punjabi iaitu Salman Taseer – bertindak menembak gabenor yang dijaganya sebanyak 28 das tembakan; disebabkan kepercayaan Mumtaz bahawa pandangan liberal gabenor tersebut menghina Rasulullah dan Islam.

Sepanjang perbicaraan, Mumtaz diangkat sebagai wira oleh pengikut aliran Barelvi sehinggakan selepas dia mati dihukum gantung, pengikut ajaran tersebut terus percaya bahawa Mumtaz adalah salah seorang ahli syurga yang perlu dikenang atas jasanya mempertahankan agama.

Sekumpulan pemimpin pro Barelvi menubuhkan persatuan yang dinamakan sebagai Tehreek Labbaik Ya Rasool Allah bagi menggembeleng tenaga pembebasan Mumtaz, sebelum bertukar menjadi gerak kerja untuk menuntut bela atas kematian syuhada tersebut.

Kini Tehreek Labbaik Ya Rasool Allah telah berkembang menjadi sebuah parti politik konservatif kanan bernama Tehreek-e-Labbaik Pakistan atau TLP. Mereka bertanding dalam pilihanraya umum Pakistan buat kali pertama pada tahun 2018 memenangi 3 kerusi. 

Doktrin utama Barelvi meletakkan Rasulullah saw. sebagai individu yang perlu disanjung, dijulang tanpa kompromi sehingga membolehkan ada kalanya matlamat mereka menghalalkan cara.

Pemikiran inilah menjadi kunci utama kepercayaan mereka yang akhirnya melahirkan individu-individu seperti Mumtaz yang kematiannya dijulang, kerana mati mempertahankan kebenaran.

Bermulanya populariti capal Rasulullah saw.

simbol capal nabi

Penggunaan capal Rasulullah saw. sebagai satu simbol yang disanjung, telah pun bermula lebih awal sebelum wujud gerakan Barelvi sendiri.

Populariti simbol capal ini dipercayai berasal-usul daripada era Sultan Selim I, salah seorang Sultan terkenal Empayar Uthmaniyah yang berjaya menawan jajahan kerajaan Mamluk.

Di bawah pemerintahan beliau, kerajaan Uthmaniyah berjaya menguasai banyak relik dan artifak Islam yang dimiliki kerajaan sebelumnya, termasuklah capal Rasulullah saw. sendiri yang kini dipamerkan di Muzium Istana Topkapi, Istanbul.

Semasa era tersebut, reka bentuknya diambil dan ditiru untuk dijadikan simbol perhiasan rumah segelintir masyarakat di Maghribi (Morocco) sekarang, yang dipercayai memulakan penggunaan simbol tersebut.

Beratus tahun kemudian, simbol capal ini mula popular di India sekitar tahun 1911, selepas aliran Sufi Chishti memperkenal dan mempopularkannya, sebelum turut sama mula diangkat pengikut aliran Barelvi.

Dikenali sebagai istilah ‘nalain shareef’, simbol capal ini mula menjadi simbol penting yang berkembang seiring dengan pengembangan aliran Barelvi – mula dipasang di rumah-rumah ibadah, kini cukup sinonim dengan gerakan tersebut. 

Kepentingan simbol ini dalam doktrin aliran Barelvi diperkukuhkan oleh fatwa yang dikeluarkan Hassan Raza Khan, adik kepada Ahmad Raza Khan yang berbunyi; ‘Jo ser pe rakhne ko mil jai Naile Pake Hazur, to phir kahen ge keh han Tajdar hum bhi hain.’

Terjemahannya – “jika aku boleh meletakkan capal Rasulullah saw. di atas kepalaku, aku akan menganggapnya sebagai satu penghormatan bagiku.”

Simbol capal Rasulullah saw. dari perspektif masyarakat Malaysia

sejarah capal rasulullah sandal selipar

Kredit foto Mohd Fadli Hamzah BeritaHarian

Penggunaan simbol capal ini sehingga kini masih bertahan di kalangan beberapa komuniti Muslim.

Di kalangan pengikut aliran Sufi seperti Barelvi serta beberapa aliran lain, ada yang percaya minum air yang direndam dengan simbol capal Rasulullah saw. mampu menyihatkan mereka. Ada juga yang percaya meletakkan simbol capal di rumah mampu melindungi penghuninya. Memakai simbol itu mampu melindungi mereka daripada bala.

Ini menyebabkan simbol capal itu dipasang di merata-rata tempat, dijadikan perhiasan mimbar masjid sebagai bukti lambang kecintaan mereka kepada Rasulullah saw.

Inilah yang menjadi masalah utama – apabila sesuatu simbol itu dijulang berlebih-lebihan sedangkan simbol itu belum pernah wujud semasa era Rasulullah sendiri. Tabiat-tabiat serupa turut sama boleh mula dilihat di kalangan ahli masyarakat kita.

Dalam satu insiden tahun 2016 semasa majlis Lantunan Mahabbah Rasulullah yang dianjurkan di Alor Setar, ramai pengunjung pameran yang hadir berpusu-pusu cuba mencium capal yang dikatakan milik Rasulullah saw. sedangkan tiada kesahihan adakah capal yang diletakkan itu asli atau sekadar replika.

Tindakan itu mendapat teguran dari Mufti negeri Kedah yang menyifatkan perbuatan tersebut menghampiri perbuatan melampau, menasihatkan agar tindakan yang bersederhana lebih baik diamalkan.

Bagi Mufti Perlis pula – beliau lebih tegas dalam menyifatkan penggunaan simbol capal ini hanyalah satu perbuatan yang bermotifkan keuntungan. Ini kerana menurut beliau, terdapat bermacam cara lain lagi untuk kita masyarakat Muslim mengingati Rasulullah saw. khasnya melalui amalan selawat.

Apa yang jelas, kata kuncinya di sini adalah kesederhanaan dan kami sependapat dengan apa yang difatwakan oleh Mufti Wilayah.

Menjaja simbol capal Rasulullah saw. sebagai satu simbol penting yang perlu dilindungi, dijaga, dihormati serta dijulang hanya kerana wujud hubungan kecil simbol itu dengan salah satu pakaian Rasulullah adalah satu perbuatan yang tidak patut berlaku – apatah lagi apabila wujud unsur mengejar keuntungan di belakangnya.

Kita tidak mahu jadi seperti masyarakat Barelvi yang terlalu memuliakan simbol capal Rasulullah saw. dalam hidup mereka, sehinggakan sesiapa saja yang membantah sesuatu perbezaan akan diisytihar kafir dan sesat semuanya.

Lagipun jika anda berfikir secara logik – bolehkah kita katakan hanya Rasulullah saw. seorang saja yang memakai capai berbentuk sedemikian rupa pada zaman dakwahnya, sehingga perlu kita angkat simbol tersebut sebagai sesuatu yang mulia? 

Rujukan

The Blessed Footprint and Sacred Nalayn (PDF)




Source link

[email protected]

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular