Ratunaga

Polis menahan sepasang suami isteri kerana miliki senjata api jenis AK-47

Sepasang suami isteri ditahan selain selaras senapang jenis AK-47 bersama 142 butir peluru dirampas polis Kelantan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bahagia, Kuala Krai, di sini pada Ahad lepas.
Sejata api AK-47 itu dipercayai digunakan oleh suspek lelaki yang juga seorang petani untuk menembak gajah yang merosakkan kebunnya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Operasi Khas (D8) dan Siasatan Khas (D9) itu, daripada 142 butir peluru hidup yang dirampas 126 merupakan jenis bore dan 16 butir peluru 5.56 mm.
Menurut beliau, berdasarkan soal siasat yang dijalankan, suspek yang berusia 50 tahun itu memberitahu senjata terbabit diperoleh daripada seorang rakannya pada lima tahun lalu selepas mengadu mengenai gajah yang sering merosakkan kebun buah-buahan seluas enam hektar miliknya.
Dalam tempoh tersebut juga, suspek kata beliau, mengaku sudah menembak dua ekor gajah.
“Kedua-dua individu yang ditahan adalah penduduk tempatan di situ. Siasatan awal suspek mengaku memiliki senjata api itu sejak lima tahun lepas yang diberikan oleh seorang lelaki berasal dari Tanah Merah.
“Polis juga akan menyiasat lebih lanjut termasuklah mengesan lelaki Cina dikenali sebagai ‘Su’ yang memberikan senjata itu serta membekalkan peluru dengan harga RM15 sebutir.
“Siasatan awal juga mendapati, kali terakhir suspek menggunakan senjata AK-47 itu dua tahun lalu dan sudah berhenti menggunakannya sejak tiada lagi ancaman gajah liar di kebunnya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Shafien berkata, selain isteri suspek yang berusia 50 tahun, polis juga sedang mengesan rakan suspek yang memberikan senjata itu kepadanya.
Pasangan suami isteri itu, katanya, ditahan reman bermula kelmarin hingga 19 Disember ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan sebat tidak kurang daripada enam kali.
Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api dan peluru dengan menyalahi undang-undang dengan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Sumber: Astroawani

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular