Ratunaga

PERUTUSAN PERDANA MENTERI 10 MAY 2020

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat wal afiat.
Hari ini 17 Ramadan adalah hari umat Islam memperingati peristiwa Nuzul
al-Quran, iaitu hari di mana al-Quran diturunkan kepada umat manusia.
Jadi di awal ucapan saya ini, saya nak mengucapkan selamat menyambut
Nuzul al-Quran kepada semua umat Islam. Mudah-mudahan peristiwa
Nuzul Al-Quran yang disambut pada hari ini mengingatkan kita supaya
sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup. Saya juga
mendoakan semoga umat Islam di negara ini dapat menjalani ibadah
puasa dengan sempurna.
Hari ini, saya ingin memaklumkan kepada saudara-saudari semua
mengenai perkembangan terkini pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang bermula pada 4 Mei yang lalu.
Alhamdulillah, saya lihat pelaksanaan PKPB telah berjalan dengan lancar
dan teratur. Tidak berlaku kesesakan luar jangka di stesen-stesen pengangkutan awam, di dalam LRT, MRT, bas, restoran dan lain-lain.
Nampaknya, rata-rata rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan.
Sektor-sektor ekonomi juga telah mula dibuka. Mereka yang terkandas di
kampung halaman atau di tempat-tempat lain telah mula balik ke rumah
masing-masing. Pelajar-pelajar universiti yang terkandas di kampus juga
telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Alhamdulillah.
Ramai dalam kalangan saudara-saudari juga telah mula bekerja.
Sehingga hari ini dianggarkan seramai 6.64 juta atau 43.6 peratus pekerja
telah kembali bekerja. Saya jangkakan jumlah ini akan meningkat dalam
tempoh beberapa minggu yang akan datang.
InsyaAllah, dengan peningkatan jumlah pekerja yang kembali bekerja
dalam pelbagai sektor industri dan perniagaan, kegiatan ekonomi di
negara kita akan dapat digerakkan semula. Yang bekerja akan dapat gaji.
Yang berniaga akan beroleh pendapatan dan keuntungan. Hasil
pendapatan ini boleh dibelanjakan dalam sistem ekonomi kita yang
akhirnya menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Saya nak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan-kerajaan negeri
yang telah memberikan kerjasama kepada kerajaan persekutuan dalam
usaha membuka semula sektor-sektor ekonomi di negeri masing-masing.
Saya juga bersyukur kerana kes-kes baharu COVID 19 kekal rendah dan
terkawal. Kadar kesembuhan juga tinggi. Sehingga 9 haribulan Mei,
seramai 4,929 atau 74.8 peratus pesakit telah sembuh. Saya nak
mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan semua petugas kesihatan yang telah bersama-sama membantu merawat kesemua pesakit ini sehingga mereka sembuh.
Saya juga nak berkongsi satu berita baik dengan saudara-saudari. Dalam
satu kajian yang dilakukan oleh sebuah agensi penyelidikan yang
berpangkalan di Singapura, Malaysia berada di tangga ke empat daripada
105 buah negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap usaha
yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.
Jadi, sekali lagi saya nak mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada
semua petugas barisan hadapan kita yang telah banyak berkorban
sepanjang tempoh dua tiga bulan ini untuk memastikan semua rakyat
Malaysia terselamat daripada wabak COVID 19.
Saya juga nak
merakamkan ucapan terima kasih kepada saudara-saudari sekalian
seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah yang sentiasa
berdisiplin mematuhi arahan PKP dan PKPB sehingga memudahkan para
petugas barisan hadapan kita menangani krisis ini.
Hasil daripada usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh para
petugas barisan hadapan dan disiplin saudara-saudari sepanjang tempoh
PKP dan PKPB dilaksanakan, kita telah berjaya menjadikan hampir
seluruh mukim atau zon di negara kita berstatus hijau. Kawasan-kawasan
ini tidak mencatatkan sebarang kes positif COVID 19 baharu dalam
tempoh dua minggu yang lalu.
Daripada 1,178 mukim, bahagian, zon, sub-zon dan presint di seluruh
negara, sebanyak 1,112 atau 94.4 peratus telah dikategorikan sebagai
hijau, manakala 62 atau 5.2 peratus dikategorikan sebagai kuning dan
hanya 4 atau 0.34 peratus yang masih berstatus merah. Yang dimaksudkan dengan status merah ialah kawasan-kawasan yang mencatatkan lebih 40 kes positif COVID 19.
Untuk makluman saudara-saudari, terdapat 4 kawasan setakat ini yang
masih berstatus merah iaitu:
Mukim Batu, Gombak, Selangor;
Zon Batu, Mukim Batu, Kuala Lumpur;
Zon Kampung Baharu, Mukim Bandar, Kuala Lumpur; dan
Mukim Pedas, Daerah Rembau, Negeri Sembilan.
Bagi penduduk di kawasan-kawasan ini, saya nasihatkan supaya lebih
berhati-hati apabila keluar rumah. Amalkan penjarakan sosial. Pakai
penutup mulut dan hidung. Sentiasa bersihkan tangan. Kalau boleh
kurangkan aktiviti di luar rumah.
Bagi penduduk di luar kawasan ini, nasihat saya pertamanya jangan
berkunjung ke kawasan ini buat masa ini. Itu lebih baik supaya kita tidak
terdedah kepada jangkitan wabak COVID 19.
Keduanya, bagi penduduk di kawasan hijau, jangan ingat anda semua
telah selamat dan boleh bergerak ke sana sini dengan bebas. Saudara￾saudari mungkin beranggapan yang saudara-saudari tidak akan dijangkiti
wabak ini kerana berada di kawasan hijau. Tetapi saya nak ingatkan
selalu yang virus COVID 19 ini adalah musuh senyap yang kita tak
nampak. Ia boleh menyerang kita pada bila-bila masa dan di mana-mana
sahaja.
Jadi, berhati-hatilah. Penjarakan sosial, memakai topeng mulut dan
hidung, dan membersih tangan mestilah terus diamalkan sehinggalah kita
berjaya menemui vaksin untuk virus ini.
Menurut pandangan pakar perubatan, proses menghasilkan vaksin
biasanya mengambil masa yang agak lama iaitu antara 12 hingga 18
bulan. Saya telah berhubung dengan beberapa pemimpin negara luar dan
dimaklumkan ujian-ujian klinikal sedang giat dilaksanakan untuk
menghasilkan vaksin bagi virus ini. Saya berharap vaksin dapat dihasilkan
seberapa segera supaya kita boleh bebas daripada ancaman COVID-19
dengan secepat mungkin.
Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,
Walaupun kita telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha
memerangi wabak COVID 19, usaha kita masih belum berjaya
sepenuhnya. Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi
wabak ini. Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat
mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar
untuk memerangi wabak ini.
Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis
Keselamatan Negara, saya ingin mengumumkan Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang berkuatkuasa sehingga 12 Mei
2020, akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020, iaitu selama 4 minggu
lagi. Ini bermakna, semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan
sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa
sehingga 9 Jun 2020. Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari
masa ke semasa.
Dalam tempoh ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan
melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta
Kaamatan dan Hari Gawai. Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari
tentang larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa
dalam tempoh ini. Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon
ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan
balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak
dibenarkan.
Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung
bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa
lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu
bapa dan sanak saudara.
Stesen-stesen TV dan Radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau
sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga.
Mainkanlah lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana. Saya
tengok dalam YouTube ada lagu “Jange Kelik La Weii”. Lagu ni pun OK
lah.
Tetapi ini tak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri,
Pesta Kaamatan atau Hari Gawai. Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam
kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang
sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa. Jadi tak
perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka.
Setiap keluarga hendaklah mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan
sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan
kendiri seperti penggunaan hand sanitizer sepanjang sambutan perayaan
ini. Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu
garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu
tetamu yang hadir.
Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar saudara-saudari elakkan
daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup. Kalau
nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak
perlulah duduk terlalu rapat.
Mengenai solat berjemaah di masjid, termasuk solat Jumaat, Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia sedang memperhalusi tatacara atau SOP
tertentu yang boleh diamalkan oleh para jemaah. InsyaAllah, selepas
SOP ini dimuktamadkan dan dipersembahkan kepada Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja￾Raja selaku Ketua Agama Islam persekutuan dan negeri-negeri untuk
diperkenankan, kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk bersolat
jemaah di masjid.
Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk
mendirikan solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu. InsyaAllah,
kita doakan keadaan akan bertambah baik. Tambahan pula telah banyak
kawasan-kawasan hijau di seluruh negara. Dengan pelaksanaan SOP
yang teratur, saya percaya masjid-masjid di kawasan ini telah bersedia
untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah. Berikan sedikit masa kepada pihak
berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan.
InsyaAllah, dalam masa terdekat ini kita boleh menunaikan ibadat kita
dengan lebih sempurna dan syiar Islam akan bersinar semula.
Begitu juga dengan gereja dan rumah-rumah ibadat bagi penganut agama
Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain. Kerajaan akan
mengumumkan SOP tertentu untuk membolehkan saudara-saudari yang
beragama bukan Islam mengerjakan ibadat di rumah ibadat masing￾masing.
Mengenai perjalanan rentas negeri, saya diberitahu ada pasangan suami
isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja. Misalnya, suami bekerja
di Perlis, isteri di Johor. Oleh kerana larangan perjalanan rentas
sempadan negeri, ada suami yang dah tak berjumpa anak dan isteri
selama dua bulan. Jadi saya nak mengumumkan kita berikan
kelonggaran kepada pasangan suami atau isteri ini untuk melakukan
perjalanan rentas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan
keluarga. Bagi yang melibatkan perjalanan rentas negeri Sabah dan
Sarawak, saya mohon supaya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga
memberikan kelonggaran yang sama. Permohonan boleh dibuat melalui
aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis yang berdekatan.
Mengenai isu bayaran Bantuan Prihatin Nasional, saya dengar ada
rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran ini atas
pelbagai sebab. Antaranya kerana maklumat yang diisi tidak lengkap. Ada
juga yang permohonannya ditolak kerana dalam rekod menunjukkan
pendapatan melebihi syarat kelayakan. Tetapi mereka sebenarnya telah
hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan. Ada juga antara yang
memohon adalah pelajar yang telah menerima bantuan BPN bagi kategori pelajar. Jadi permohonan mereka untuk mendapatkan bayaran BPN bagi
kategori bujang ditolak.
pelajar. Jadi permohonan mereka untuk mendapatkan bayaran BPN bagi
kategori bujang ditolak.
Ini antara sebab-sebab permohonan ditolak. Mengambil kira semua
perkara ini, YB Menteri Kewangan telah bersetuju untuk melanjutkan
tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei 2020.
Selain menghantar emel, para pemohon yang mana permohonan mereka
tidak diluluskan boleh hadir sendiri ke kaunter-kaunter LHDN untuk
membuat rayuan bermula hari Isnin 11 Mei 2020. Bagi negeri-negeri yang
bercuti esok, bolehlah pergi ke kaunter LHDN pada hari Selasa 12 Mei
2020. Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan. Tetapi mana￾mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, insyaAllah boleh
diluluskan.
Saya juga nak maklumkan, semalam kerajaan telah meluluskan 2.3 juta
permohonan BPN, termasuk permohonan baharu dan rayuan, yang
melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 billion. Dengan
kelulusan tersebut, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang
yang melibatkan bayaran berjumlah RM11 billion.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
Kita telah cuba melakukan yang terbaik dalam usaha memerangi wabak
COVID 19. Usaha kita ini telah menunjukkan petanda kejayaan.
Tetapi saya nak nasihatkan supaya kita jangan alpa. Kita masih di
peringkat awal pelaksanaan PKPB. Dengan jumlah orang ramai yang mula keluar dari rumah untuk bekerja semakin meningkat, risiko jangkitan
juga turut meningkat.
Jadi, beberapa minggu ke hadapan ini agak kritikal bagi kita. Hasil
pelaksanaan PKPB hanya dapat dilihat dalan tempoh beberapa minggu
lagi. Jika berlaku peningkatan kes yang ketara dalam tempoh ini, kerajaan
akan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan
Diperketatkan atau PKPD bagi kawasan-kawasan yang terjejas.
Kita nak elakkan perkara ini daripada berlaku. Oleh sebab itu, saya nak
merayu kepada saudara saudari semua supaya patuhilah SOP yang
ditetapkan oleh kerajaan. Bukan susah. Mudah sahaja. Elakkan tempat
yang sesak. Amalkan penjarakan sosial. Pakai penutup mulut dan hidung.
Sentiasa basuh tangan atau gunakan hand sanitizer. Selain itu, keluar
rumah hanya jika perlu sahaja.
InsyaAllah, kita berdoa mudah-mudahan kita akan berjaya memerangi
wabak COVID 19 bersama-sama.
Kepada semua umat Islam saya ucapkan selamat menjalani ibadah
puasa. Juga kepada para ibu, selamat menyambut Hari Ibu pada hari ini.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa
barakatuh.

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular