Ratunaga

Perbezaan Antara Psikopat dan Sosiopat

Pastinya anda pernah mendengar atau terbaca tentang individu yang digelar sebagai seorang “psikopat” atau “sosiopat”. Namun, apakah maksud sebenar gelaran itu dan apakah perbezaan antara kedua-duanya?

beza psikopat dan sosiopat

Anda mungkin tidak akan mendapat definisi yang tepat dalam buku atau risalah mengenai kesihatan mental. Doktor biasanya tidak akan mendiagnosis seseorang itu sebagai psikopat atau sosiopat. Lazimnya, doktor menggunakan istilah yang berbeza sebagai ganti iaitu “Kecelaruan Personaliti Antisosial” atau “Antisocial Personality Disorder”.

Sebahagian besar pakar percaya bahawa psikopat dan sosiopat ini mempunyai ciri-ciri permasalahan yang serupa. Mereka mempunyai rasa logik yang lemah dalam pertimbangan antara perkara betul atau salah. Mereka juga biasanya tidak memperdulikan, memahami atau merasai perasaan orang lain. Sebenarnya, terdapat beberapa perbezaan antara kedua-dua masalah mental ini.

Hati Nurani

tanda anda seorang psikopat

Menurut seorang ahli psikologi di Pusat Rawatan Kesihatan Mental Sacramento, L. Michael Tompkins, perbezaan utama antara psikopat dan sosiopat adalah sama ada mereka mempunyai hati nurani. Hati nurani adalah suara kecil yang memberitahu kita jika sesuatu perbuatan yang dilakukan itu benar atau salah.

Tompkins menerangkan bahawa seseorang psikopat itu tidak mempunyai hati nurani. Sekiranya mereka berbohong untuk mencuri, mereka tidak akan merasa sebarang keraguan moral. Mereka juga boleh berpura-pura berbuat baik agar tidak dicurigai orang lain.

Bagi seorang sosiopat pula, mereka mempunyai hati nurani tetapi ianya sangat lemah. Mereka mengetahui bahawa menipu dan mencuri itu adalah perbuatan yang salah. Mereka juga mungkin berasa menyesal tetapi perasaan itu tidak dapat menghentikan perbuatan salah laku mereka.

Namun, kedua-dua golongan ini mempunyai rasa empati yang lemah iaitu keupayaan untuk memahami perasaan atau emosi orang lain. Menurut Dr. Aaron Kipnis, pengarang buku The Midas Complex, seseorang psikopat itu lebih sidikit mempunyai rasa sesalan berbanding sosiopat. Golongan ini melihat orang lain sebagai objek yang boleh digunakan untuk kepentingan mereka sahaja.

Tidak semestinya ganas

psikopat hannibal lecter

Dalam rancangan TV atau filem, psikopat atau sosiopat itu biasanya digambarkan sebagai seorang penjahat yang membunuh dan menyiksa orang yang tidak bersalah. Dalam dunia nyata, sebilangan kecil golongan ini boleh menjadi ganas tetapi kebanyakannya tidak. Biasanya mereka pandai memanipulasi dan tidak memikirkan akibat masa hadapan bagi mendapatkan apa yang mereka inginkan.

Menurut Kipnis lagi, sebahagian kecil mungkin menjadi pembunuh atau perompak manakala sebahagian besar yang lain mempunyai kemahiran untuk berjaya di dunia korporat walaupun harus menyakiti orang lain demi kejayaan sendiri.

Sekiranya anda perasan beberapa sifat yang dimaksudkan ini ada pada ahli keluarga atau rakan sekerja, anda mungkin berfikir bahawa mereka adalah seorang psikopat atau sosiopat. Namun, tidak semestinya seseorang yang bersifat kejam dan mementingkan diri sendiri itu mempunyai gangguan mental seperti ini.

Berhati dingin dan panas baran

psikopat korporat

Tidak mudah sebenarnya untuk mengenalpasti seseorang psikopat itu. Mereka mungkin seorang yang bijak, menawan dan pandai menyembunyikan emosi. Mereka juga boleh berpura-pura menunjukkan minat pada anda tetapi hakikatnya tidak peduli sama sekali.

Menurut Thompkins, psikopat adalah pelakon yang mahir dan misi utama mereka adalah untuk memanipulasikan orang lain untuk kepentingan diri sendiri.

Ia berbeza pula dengan sosiopat di mana mereka biasanya tidak serasi bersama orang lain. Mereka hanya memikirkan tentang diri sendiri tanpa mempedulikan orang lain. Seorang sosiopat sering menyalahkan orang lain dan sentiasa mempunyai alasan untuk tingkah laku mereka.

Beberapa pakar melihat golongan sosiopat ini sebagai seorang yang panas baran. Mereka sering melakukan sesuatu tanpa memikirkan bagaimana tindakan itu akan mempengaruhi orang lain. Walaupun panas baran, seseorang sosiopat itu boleh membentuk ikatan emosi walaupun sukar. Ia berbeza dengan seorang psikopat kerana mereka biasanya gagal mempunyai ikatan emosi yang asli.

Seorang psikopat pula adalah lebih berhati kering dan pandai membuat percaturan. Mereka akan merancang setiap pergerakan dan rencana untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Sekiranya mereka mahukan status dan kedudukan lebih baik di pejabat, mereka akan merancang untuk menghancurkan apa sahaja halangan walaupun ia melibatkan reputasi dan kedudukan orang lain.

Perbezaan otak

psikopat vs sosiopat 559

Penyelidikan terkini menunjukkan kemungkinan bahawa otak seorang psikopat tidak sama seperti yang lain. Mungkin ada sedikit perbezaan fizikal tetapi masih sukar untuk membezakan seorang psikopat dengan orang yang mempunyai masalah lain.

Perbezaan ini malah boleh mengubah fungsi asas tubuh seseorang. Sebagai contoh, apabila kebanyakan orang melihat darah atau keganasan dalam filem, jantung mereka berdegup lebih cepat, pernafasan semakin kencang dan telapak tangan boleh berpeluh.

Bagi seseorang psikopat pula, mereka mempunyai reaksi yang berlawanan. Mereka menjadi lebih tenang. Kipnis berkata bahawa reaksi ini membantu seseorang psikopat untuk lebih berani melakukan sebarang tindakan yang berisiko. Mereka juga tidak takut akan akibat daripada perbuatan mereka.

Seorang psikopat dan sosiopat juga lebih gemar berbual mengenai makanan, seks atau kewangan dan kurang gemar berbual mengenai keluarga, keagamaan atau kerohanian. Selain itu, mereka gemar berbicara tentang diri sendiri dan mempunyai ego yang besar.

Seseorang psikopat biasanya boleh mengekalkan kehidupan mereka yang normal atau berjaya bagi menutup sebarang salah laku atau aktiviti jenayah. Manakala bagi seorang sosiopat pula, mereka sukar untuk kekal bekerja di tempat yang sama dan sentiasa mempunyai masalah dalam keluarga.




Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular