Ratunaga

Kisah “Sniper Bersiri” yang Mahu Cetuskan Perang Kaum

Hampir kebanyakan pembunuh bersiri mempunyai motif yang sama iaitu untuk memuaskan nafsu seksual tetapi ia agak berbeza dengan lelaki bernama Joseph Paul Franklin.

joseph paul franklin sniper bersiri

Antara tahun 1977 hingga 1980, Franklin yang merupakan anggota Parti Nazi Amerika ini telah menjadikan orang-orang kulit hitam dan Yahudi sebagai sasarannya. Dia mengaku membunuh puluhan mangsa merentas 11 negeri berbeza di Amerika menggunakan senapangnya.

Kehidupan awal yang menyedihkan

Sebelum dikenali sebagai pembunuh bersiri yang kejam, Franklin adalah seorang yang sangat berbeza. Dia dilahirkan di Alabama pada 13 April 1950 dan diberi nama James Clayton Vaughan Jr.

Bapanya, James Vaughan Sr., merupakan seorang veteran Perang Dunia Kedua yang kemudiannya menjadi tukang sembelih manakala ibunya, Helen Rau Vaughan bekerja sebagai pelayan restoran.

joseph paul franklin pembunuh bersiri

Bapanya, Vaughan Sr. merupakan seorang pemabuk yang sering meninggalkan keluarga mereka dari semasa ke semasa. Kadangkala sehingga berbulan-bulan lamanya. Akhirnya, bapanya itu terus mengilangkan diri semasa Franklin berusia lapan tahun.

Joseph Paul Franklin dan adik-beradiknya dibesarkan sendiri oleh ibunya yang tegas dan sering memukul mereka. Mereka juga hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan.

Minat Mendalami Agama

Ketika remaja, Franklin mempunyai kecenderungan yang obsesif terhadap agama. Dia merupakan salah seorang ahli Worldwide Church of God yang diasaskan oleh paderi selebriti, Garner Ted Armstrong. Franklin akan berusaha mengunjungi setiap cawangan Worldwide Church of God yang terdapat di seluruh Amerika.

pembunuh bersiri joseph paul franklin

Pada tahun 1967, Franklin berhenti daripada sekolah menengah. Dia juga berjaya mengelak daripada kewajipan menyertai tentera (ketika perang Amerika-Vietnam) dengan alasan mempunyai masalah penglihatan.

Setahun kemudian, Franklin berkahwin dengan seorang gadis yang tinggal di kejiranannya bernama Bobbie Louise Dorman. Franklin dan gadis yang berusia 16 tahun itu hanya berkenalan selama dua minggu sebelum mereka bersetuju untuk hidup bersama. Namun, perkahwinan mereka tidak bertahan lama.

Menurut Dorman, Franklin pada awalnya adalah seorang yang bersifat lemah lembut dan baik hati. Namun, kemanisan itu hanyalah bertahan selama beberapa minggu sahaja selepas berkahwin.

Fanatik Agama bertemu Nazisme

penyokong neo nazi di amerika

Penyokong Neo-Nazi di Amerika

Franklin dikatakan berubah secara tiba-tiba. Dia kerap mencederakan isterinya dengan teruk sehingga Dorman menyangka bahawa dia akan mati di tangan suaminya itu. Pasangan itu bercerai setelah hanya empat bulan bersama. Beberapa tahun kemudian, Franklin berkahwin lagi menggunakan identiti palsu.

Pada penghujung tahun 1960-an, Franklin mula berkecimpung dalam kumpulan ekstimis perkauman kulit putih. Dia mempelajari sastera rasis, berlatih memberi penghormatan seperti Nazi di hadapan cermin dan menjahit logo swastika di pakaiannya.

Dia juga membuat dua tatu di badannya iaitu tatu helang botak Amerika dan Grim Reaper berdarah. Bekas isterinya, Dorman, berkata bahawa Franklin mempunyai banyak fantasi. Dia sentiasa ingin menjadi berbeza daripada orang lain dan menyertai Nazi adalah sesuatu yang bermakna baginya.

Nampaknya, ia tidak mengambil masa yang lama untuk fantasi terburuk Joseph Paul Franklin menjadi kenyataan.

Ingin Menginspirasikan Perang Kaum

sniper bersiri yang rasis perkauman

ku klux klan di amerika sekitar 1930 an

Ku Klux Klan di Amerika sekitar 1930-an

Walaupun kehidupan Franklin tidak teratur dan kucar-kacir, dia sentiasa bersama golongan supremasi kulit putih ke mana sahaja dia pergi. Franklin telah menyertai dengan pelbagai kumpulan supremasi kulit putih seperti Parti Nazi Amerika, Ku Klux Klan dan Parti Hak Negara Nasional.

Franklin begitu aktif dalam Nazisme dan sering mengedarkan risalah rasis The Thunderbolt. Pada 18 September 1970, gambar Franklin berpakaian segaram Nazi di luar White House berjaya diambil jurugambar ketika dia mengadakan protes lawatan Perdana Menteri Israel ke Amerika.

Berbekalkan semangat rasis yang membuak-buak, Franklin mula bertindak. Pada Hari Pekerja tahun 1976, dia telah menyerang satu pasangan berbeza kaum (interracial) dengan menyembur pemedih mata kepada mereka. 

Setahun kemudian, dia melakukan pembunuhan pertamanya di Madison, Wisconsin. Mangsanya adalah pasangan berbeza kaum bernama Alphonce Manning Jr. dan Toni Schwenn.

Mangsa-mangsa Franklin mempunyai status, ekonomi, umur dan jantina yang berbeza tetapi kesemuanya adalah berbangsa Afrika Amerika dan beragama Yahudi.

Kebencian yang Menebal

antara mangsa kekejaman joseph paul franklin

Antara mangsa kekejaman Joseph Paul Franklin

Bersenjatakan senapang dan kebenciannya, Franklin berpindah dari satu negeri ke negeri yang lain untuk membunuh orang yang tidak bersalah hanya kerana warna kulit atau agama mereka. Dari tahun 1977 hingga 1980, Franklin telah menukar identiti sebanyak 18 kali selain kenderaan dan warna rambutnya.

Franklin mungkin berjaya menyembunyikan identitinya tetapi tidak perasaan bencinya. Seorang pelacur mendakwa Franklin pernah bertanya kepadanya di mana “bapa ayam” berkulit hitam bersembunyi kerana dia ingin membunuh mereka semua. Malah, Franklin juga berusaha memujuk wanita itu untuk membunuh “bapa ayam” yang menjaganya.

Pada 20 Ogos 1980, Franklin menembak mangsa terakhirnya, Eagle Scout David L. Martin dan rakannya Ted Fields. Kedua-dua remaja kulit hitam itu ditembak mati ketika menyeberangi jalan yang agak sibuk.

Dua bulan kemudian pada Oktober 1980, Franklin berjaya diberkas setelah FBI melakukan pemburuan ke atasnya di seluruh Amerika.

Berakhirnya Kekejaman Sniper Bersiri

Selepas ditahan, Franklin mendakwa dia membunuh sekurang-kurangnya 22 orang mangsa. Dia juga mengaku bahawa terlibat dalam pengeboman dua rumah ibadat Yahudi dan 16 rompakan lain.

Dia juga mengaku pernah membuat cubaan bunuh terhadap pemimpin hak sivil iaitu Vernon Jordan Jr. dan penerbit majalah pornografi, Larry Flint. Flint menjadi lumpuh dari pinggang ke bawah akibat tembakan Franklin pada 1978.

larry flint mogul empayar porno

Larry Flint, mogul empayar pornografi

Sifat perkauman begitu menebal dalam jiwa Franklin sehingga dia menolak untuk ditawarkan saksi bagi pembelaannya kerana mereka berkulit hitam.

Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan hanya dapat menyabitkan Joseph Paul Franklin dengan hanya tujuh pembunuhan sahaja kerana kekurangan bukti. Franklin dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan juga hukuman mati di beberapa negeri.

Pada 20 November 2013, Franklin telah disuntik dengan suntikan maut di Bonne Terre, Missouri. Hukuman bunuh itu yang tertangguh selama berbulan-bulan hanya berlangsung selama 10 minit sahaja. Walaupun kebenaran telah ditegakkan, terdapat ahli keluarga mangsanya masih tidak dapat memaafkan pembunuh itu.




Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular