Ratunaga

Kisah Scam Telefon Paling Mengerikan Pernah Berlaku

[ad_1]

scam penipuan telefon telemarketing panggilan palsu penipu

Sehingga kini, telefon menjadi antara cara paling mudah bagi sindiket-sindiket penipuan melakukan aktiviti terkutuk mereka.

Kisah mangsa yang tertipu disebabkan oleh kelicikan individu menyamar sebagai penguatkuasa seperti polis atau profesion seperti ‘pegawai Bank Negara’ telah menyebabkan kerugian berjuta ringgit setiap tahun.

Dalam kes seperti itu jelas sasaran mereka adalah wang ringgit.

Namun dalam siri insiden yang berlaku sejak awal dekad 1990-an sehinggalah awal dekad 2000, wujud individu yang menyalahgunakan telefon hanya untuk menipu mangsa asalkan mangsa apa saja kehendak mereka; tanpa peduli habuan yang boleh mereka terima.

Pemanggil yang puas manusia menurut kehendak mereka

scam menggunakan telefon bahaya

Bermula sekitar tahun 1992, beberapa restoran makanan segera yang terletak di kawasan pedalaman Amerika Syarikat mula menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang menyamar sebagai anggota polis.

Kaedahnya serupa di mana pemanggil itu secara rawak menelefon mana-mana restoran, memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat kes biasanya kes kecurian dan memohon kerjasama pihak pengurusan restoran untuk membantu beliau dalam kes.

Apa yang berlaku selepas itu bergantung kepada tahap kerjasama yang diberikan oleh pengurus restoran, di mana pengurus restoran akan diminta melakukan beberapa tugasan sementara ‘menunggu’ pihak polis sampai.

Yang aneh, majoriti mangsa yang dipermainkan tidak mempertikaikan arahan yang dikeluarkan oleh pegawai polis tersebut, walaupun arahannya semakin lama semakin karut dan menjurus kepada perbuatan seksual.

Dalam satu insiden tahun 2000 di mana penipuan itu berjaya dilakukan, seorang pengurus restoran McDonald’s diminta menanggalkan pakaian di depan pelanggan.

Wanita itu akur kerana diberitahu pelanggan yang berdiri di depannya adalah seorang pesalah laku seks; diminta menanggalkan pakaian bagi memastikan lelaki itu tidak ke mana-mana sehinggalah polis sampai!

Pekerja biasanya wanita akan diminta menanggalkan pakaian, bagi memastikan tiada apa-apa yang mampu disorok. Pengurus restoran pula sedaya upaya mahu membantu pihak polis, akan menurut saja arahan yang dikeluarkan.

Kaedah sama berulang beberapa kali di beberapa restoran berbeza, sehinggalah satu kejadian pada bulan April tahun 2004 membawa kepada penangkapan suspek selepas berlakunya beberapa rentetan perkara yang kami yakin anda tak percaya boleh berlaku……

….. hanya melalui panggilan telefon.

Nasib pekerja McDonalds yang tidak bernasib baik

cctv rakaman insiden louise ogborn

Lousie Ogborn seorang pekerja berusia 18 tahun masuk bekerja di restoran McDonalds cawangan Mount Washington seperti biasa pada 9 April 2004, menamatkan shif siang sebelum diminta mengisi kekosongan salah satu slot seterusnya oleh pengurus beliau, Donna Summers.

Dalam kesibukan, Summers menerima panggilan daripada seorang yang mengaku dirinya anggota polis bernama ‘Officer Scott’, menjelaskan berkenaan satu kes kecurian melibatkan beg tangan seorang pelanggan di restorang kendalian beliau oleh salah seorang pekerja wanita di situ.

Penyamar itu secara rawak memberitahu Summers pencuri itu seorang wanita, berambut perang; Summers tidak teragak-agak terus mengenalpasti pekerja yang dimaksudkan adalah Ogborn.

Bagi membantu siasatan, Summers diberikan dua pilihan untuk dilaksanakan; sama ada Ogborn diperiksa sendiri oleh beliau di pejabatnya atau Ogborn akan dibawa ke balai polis untuk diperiksa.

Summers memanggil Ogborn, membenarkan Ogborn bercakap sendiri dengan ‘pegawai’ bertugas.

Ogborn bersetuju untuk diperiksa oleh Summers dan dia diarahkan menanggalkan oleh Summers. Seperti lembu yang dicucuk hidungnya, Summers kemudiannya mengambil kesemua pakaian milik Ogborn, telefon dan barangan peribadi lain, untuk disimpan dalam kenderaan miliknya kerana semua itu menurut ‘Officer Scott’ – ‘bukti kes jenayah.’

Ogborn dibiarkan telanjang dalam pejabat, sebelum pembantu pengurus hadir menghulurkan apron.

Anda rasa kes ini pelik? Kes ini akan jadi bertambah pelik selepas ini.

Orang luar diminta membantu menangani suspek

cctv rakaman insiden louise ogborn 2

Summers mengaku kepada ‘Scott’ beliau tidak mampu untuk terus mengawal Ogborn daripada melarikan diri, kerana perlu bertugas menjaga kaunter.

Demi memastikan Ogborn dapat terus ditahan sebelum polis hadir, Summers diminta ‘Officer Scott’ untuk memastikan sekurang-kurangnya ada pengawal yang menjaga Ogborn walaupun individu itu bukanlah pekerja di situ.

‘Officer Scott’ mencadangkan agar Summers meminta individu yang dipercayainya hadir, sebagai contoh suami beliau. Summers ketika itu belum berkahwin mencadangkan agar mereka memohon bantuan tunangnya, seorang lelaki bernama Walter Nix (gambar atas).

Nix hadir selepas diminta bagi membantu siasatan, diperjelaskan apa yang sedang berlaku oleh ‘Scott’ dan dibiarkan dalam pejabat Summers sementara Summers kembali bertugas bersama Ogborne yang hanya ditutupi apron.

Pada detik inilah panggilan menjadi lebih menakutkan.

Nix diminta untuk melakukan beberapa perkara yang melibatkan tabiat kelucahan yang didakwa perlu dilakukan demi memudahkan siasatan. Sekiranya Ogborn tidak memberikan kerjasama terhadap semua arahan Nix, dia diugut akan hilang pekerjaan di restoran itu.

cctv mcdonald louise ogborn

Apa yang sangat menghairankan, Nix menurut sahaja semua arahan itu membabi buta kerana  takut didakwa tidak memberikan kerjasama, walaupun sepanjang insiden Ogborn mempertikaikan apa yang sedang dilakukan Nix ke atasnya.

Tidak ada sesiapa benar-benar jelas tentang apa yang berlaku sepanjang hampir 3 jam Nix dan Ogborn dibiarkan sendirian. Mereka mendiamkan diri apabila Summers hadir sekali-sekala dan bertanya apa perkembangan kes.

Selepas hampir 3 jam, salah seorang pekerja bernama Tom Simms diminta oleh Summers untuk cuba bercakap dengan ‘Officer Scott’ kerana Nix perlu beredar bagi membolehkan Simms menggantikan tempat Nix.

Simms diarahkan ‘Scott’ untuk menanggalkan apron yang menutupi Ogborn. Ekoran pelik dengan arahan itu yang dikeluarkan pegawai polis, Simms menyuarakan pendapat panggilan itu besar kemungkinan hanyalah satu penipuan.

Summers yang baru tersedar, cuba mendesak ‘Officer Scott’ mendedahkan identiti dan tujuan panggilan itu dilakukan.

Sedar tembelangnya pecah, panggilan itu serta-merta diputuskan.

Pengurusan McDonalds segera dihubungi bagi melakukan siasatan dalaman sebelum polis sebenar dihubungi. Ketika inilah rakaman CCTV tentang apa yang berlaku di antara Ogborn dan Nix sepanjang hampir 3 jam insiden itu diperiksa semula.

Kami tak sampai hati nak menerangkan apa yang telah ‘Officer Scott’ arahkan Nix lakukan kepada wanita muda itu; agak menakutkan bagaimana rasa takut kepada pegawai penguatkuasa mampu mendorong seseorang tunduk kepada arahan yang jelas tiada logiknya.

Summers mengeluh panjang melihat aksi tunangnya dalam video tetapi apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur. Kami sertakan sedutan videonya di bawah jika anda sanggup menonton seorang wanita muda dimalukan. 

Suspek panggilan ditangkap tetapi akhirnya dibebaskan

david r stewart scam phone 861

Selepas siasatan selama hampir 3 bulan, polis (sebenar) berjaya memberkas David R. Stewart (gambar atas), seorang bapa dengan lima orang anak yang bekerja sebagai pegawai penjara di Pusat Pemulihan Bay County, Florida.

Siasatan di kediamannya menemui bukti kad-kad panggilan yang telah dibeli dan digunakan, menghubungkan Stewart dengan beberapa kes serupa yang telah berlaku sebelum insiden itu.

Walaupun ada petunjuk jelas menunjukkan penglibatan Stewart dalam panggilan-panggilan dengan modus operandi serupa, mahkamah terpaksa membebaskan Stewart pada 31 Oktober 2006 daripada tuduhan menyamar sebagai pegawai polis kerana tiada bukti kukuh bagi pendakwaan.

Stewart juga gagal dibuktikan bersalah terhadap dakwaan terlibat secara langsung dalam insiden sodomi tidak rela yang dilakukan Nix ke atas Ogborne, walaupun semuanya berlaku atas arahan dia sendiri.

Walter Nix didakwa di mahkamah disabitkan atas 3 kesalahan membawa hukuman penjara 5 tahun sementara Donna Summers pula terlepas daripada pendakwaan tetapi hilang pekerjaannya di McDonalds.

Apa berlaku kepada Louise Ogborn?

louise ogborn mangsa scam telefon

Mengalami trauma terhadap apa yang telah berlaku, Louise Ogborn membawa kes ini ke mahkamah dalam tuntutan $200 juta; menamakan McDonalds serta pengurusnya, Donna Summers sebagai defendan kes.

Dalam perbicaraan yang berlangsung, pihak penyiasat kes mendedahkan panggilan-panggilan serupa sebenarnya telah berulang kali berlaku melibatkan beberapa restoran makanan segera dengan kaedah serupa termasuklah McDonalds sendiri.

Ogborn rupanya hanyalah mangsa terbaru kejadian sama. Apa yang malang, pihak McDonalds sebenarnya telahpun maklum berkenaan insiden sama yang berulang beberapa kali melibatkan pelbagai cawangan restoran milik mereka.

Atas sebab itulah mahkamah mengisytiharkan beban kesalahan perlu ditanggung sama rata di antara ‘Officer Scott’ yang mengambil kesempatan ke atas kelalaian pekerja restoran serta McDonalds sendiri kerana gagal menyebarkan notis peringatan kepada restoran-restoran mereka.

Dalam penghakiman awal, mahkamah mengarahkan McDonalds membayar pampasan kepada Ogborn yang bernilai $6.1 juta dan pengurus cawangan itu, Donna Summer menerima $1.1 juta.

Pihak McDonalds melakukan rayuan bagi mengurangkan amaun yang perlu dibayar atas beberapa hujah namun mahkamah menolak rayuan itu.

Ini kerana rekod menunjukkan sejak tahun 1994 sehinggalah 2004, pengurusan McDonalds teleh sedia maklum berkenaan 30 panggilan menggunakan modus operandi serupa yang telah dilakukan.

Mahkamah mendapati wujud bukti jelas badan korporat McDonalds gagal mengurus insiden panggilan palsu serupa dengan baik, tidak meminda tatacara latihan pengurusan restoran dalam menangani kes seperti ini serta tidak mengeluarkan notis pemberitahuan dengan berkesan – walaupun kes sama sudah berulang kali terjadi melibatkan pekerja mereka.

Jadi sekiranya anda adalah salah seorang yang seringkali mempertikaikan bagaimana seseorang di negara kita boleh ‘bodoh sangat’ menjadi mangsa ‘scam’ melalui telefon, ingatlah kes ini dan bagaimana ramai pekerja dan pengurusan McDonalds boleh dipermainkan untuk kepuasan nafsu ganjil seseorang – hanya dengan panggilan telefon yang cukup meyakinkan.

Kisah ini sudah pun diterjemahkan ke dalam media seperti filem dan drama seperti filem ‘Compliance’ yang diterbitkan pada tahun 2012. Harus kami ingatkan, apa yang dipaparkan dalam filem tersebut adalah serupa dengan peristiwa yang benar-benar berlaku.

Hentikanlah tabiat suka memandang rendah mangsa penipuan kerana itu bukanlah solusi kepada masalah ini. Kita melihat mangsa bodoh, kerana kita tidak berada di tempat mereka.

Rujukan

McDONALD CORPORATION v. OGBORN



[ad_2]
Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular