Ratunaga

Kisah Megumi Yokota, Kanak-Kanak Jepun Yang Diculik Oleh Perisik Korea Utara

[ad_1]

konflik korea

Bagi yang tidak tahu, Korea Utara sejak dahulu lagi mempunyai ramai pengintip yang dilatih dan dihantar ke seluruh dunia. Bagi memastikan kerahsiaan ejen-ejen perisik ini terjaga, pengintip-pengintip Korea Utara ini biasanya akan diajar mengenai bahasa dan budaya setempat negara misi mereka dihantar. 

Maka, timbul persoalan. Bagaimanakah pihak Korea Utara ingin melatih ejen-ejen perisik mereka untuk lebih memahami bahasa dan budaya setempat? Sudah tentulah mendapatkan seseorang individu yang sememangnya berasal daripada sesuatu negara itu sebagai tenaga pengajar bagi ejen-ejen perisik ini.

Bagaimanakah individu-individu dari luar ini boleh “dipaksa” untuk bekerja bagi pihak Korea Utara untuk melatih ejen-ejen mereka? Salah satu kaedah yang pernah didedahkan sebelum ini adalah melalui penculikan.

Korea Utara dan jenayah penculikan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Seperti mana yang pernah kami tulis dalam artikel Kisah Disebalik Penghasilan Filem Propaganda Komunis di Korea Utara, mereka pernah menculik pengarah dan pelakon hebat dari Korea Selatan untuk merealisasikan misi mereka menghasilkan filem propaganda mereka.

Kisah penculikan Megumi Yokota

penculikan kanak kanak 993

Salah satu kisah penculikan oleh Korea Utara yang pernah mendapat perhatian seluruh dunia adalah mengenai kes penculikan Megumi Yokota. Megumi Yokota adalah seorang kanak-kanak Jepun yang diculik oleh ejen Korea Utara pada tahun 1977. Lebih menyedihkan, dia ketika itu hanyalah seorang pelajar sekolah menengah berusia tiga belas tahun.

Megumi Yokota adalah salah satu daripada sekurang-kurangnya tujuh belas warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara pada akhir 1970-an dan awal 1980-an. Kejadian itu berlaku ketika dia mahu pulang ke rumah setelah berlatih badminton di gimnasium yang jaraknya hanya 7 minit perjalanan dari rumahnya.

Sakie Yokota, ibunya yang panik apabila anaknya itu tidak kunjung tiba apabila hari sudah gelap segera mendapatkan bantuan polis. Polis dan anjing penjejak yang digunakan tidak dapat mengesan ke manakah kanak-kanak malang ini menghilang.

Tanpa mereka ketahui, pada saat itu Megumi Yokota sudahpun dalam perjalanan menaiki bot laju menuju ke Korea Utara. Beberapa bulan selepas kejadian itu, pihak polis mengatakan mereka mengerahkan sehingga 3000 orang anggota dalam usaha mencari kanak-kanak itu namun tidak menjumpai sebarang petunjuk mengenai nasib kanak-kanak malang itu.

Seorang perisik Korea Utara yang membelot ke Korea Selatan pada tahun 1993 pernah mendedahkan secara terperinci mengenai seorang kanak-kanak Jepun yang diculik yang mempunyai persamaan dengan Megumi Yokota. Lelaki tersebut memberitahu bahawa kisah tersebut diceritakan sendiri oleh seorang pengintip senior kepadanya pada tahun 1988.

Menurutnya, penculikan itu adalah sesuatu yang tidak dirancang. Korea Utara sama sekali tidak mempunyai perancangan menculik kanak-kanak kecil. Pada hari tersebut, 2 orang ejen yang baru menyelesaikan misi mengintip ke Niigata telah menunggu di pantai tersebut untuk menaiki bot yang datang membawa mereka pulang. 

Ketika itulah mereka perasan kelibat mereka telah diperhatikan oleh seorang individu dipercayai Megumi Yokota. Takut kisah tersebut diketahui ramai, mereka kemudian mengambil keputusan untuk menculik individu tersebut. Dalam keadaan hampir gelap kerana hari sudah senja, mereka mereka terus menculik Megumi Yokota yang disangkanya seorang individu dewasa kerana tubuhnya yang besar.

Dia tiba di Korea Utara setelah 40 jam terkurung di ruang penyimpanan yang gelap gelita, kuku jarinya terkoyak dan berdarah kerana berusaha mencari jalan keluar. Kanak-kanak malang ini menangis mahukan ibunya dan enggan makan.

Untuk menenangkannya, mereka berjanji bahawa jika dia bekerja keras dan belajar fasih berbahasa Korea, dia akan dibenarkan pulang. Sudah tentulah itu hanya janji kosong bagi memperbodohkan kanak-kanak ini. Penculiknya langsung tidak mempunyai niat seperti itu.

Sebaliknya, Korea Utara akan memaksanya untuk bekerja sebagai jurulatih pengintip, mengajar bahasa dan tingkah laku Jepun di sekolah elit untuk ejen-ejen pengintip Korea Utara.

Pendedahan mengenai penculikan Megumi Yokota

penculikan korea utara 935

Gambar Megumi Yokota tahun 2004

Setelah bertahun-tahun spekulasi mengenai kejadian ini timbul dan tidak ada petunjuk baru, pada Januari 1997, maklumat mengenai penculikan Megumi Yokota didedahkan kepada ibu bapanya oleh seorang individu bernama Tatsukichi Hyomoto melalui panggilan telefon.

Jepun meletakkan 17 orang dalam senarai rasmi warganegara yang diculik oleh Korea Utara walaupun ia mengesyaki ratusan lagi mengalami nasib yang sama. Korea Utara mengembalikan lima dari mereka dalam senarai pada tahun 2002 berikutan pertemuan di Pyongyang antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, dan Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi.

Korea Utara mendakwa empat yang lain dalam senarai itu tidak pernah memasuki Korea Utara dan lapan baki yang lain, termasuk Megumi Yokota, mati di sana. Keluarga Megumi Yokota dan pemerintah Jepun tidak menerima kisah kematiannya, sebahagiannya kerana ujian DNA menunjukkan bahawa abu mayat yang dihantar ke Jepun menunjukkan ianya bukan milik Megumi Yokota. 

Ujian DNA ini berjaya dilakukan memandangkan keluarga orang Jepun biasanya akan menyimpan tali pusat anak mereka. Daripada padanan ujian DNA yang dilakukan ternyata abu mayat yang sudah dibakar  itu bukanlah milik Megumi Yokota.

Jepun bukanlah satu-satunya negara yang warganya diculik oleh Korea Utara. Jawatankuasa Hak Asasi Manusia yang berpusat di Washington telah menerbitkan bukti bahawa Korea Utara telah menculik rakyat dari 14 buah negara. Jumlah orang Korea Selatan yang diculik termasuk nelayan, tentera dan pelajar mencecah ribuan orang.

Mangsa penculikan warga Lebanon yang berjaya dipulangkan dilaporkan melihat wanita Perancis, Belanda dan Itali di sebuah institusi perisik di Korea Utara. Tidak ada yang tahu siapa mereka dan Korea Uara juga enggan memberitahu sama ada mereka masih di Korea Utara.

Warga asing yang diculik tidak hanya berguna sebagai guru. Mereka mungkin dilatih sebagai perisik bagi Korea Utara atau pihak Korea Utara dapat mencuri identiti mereka untuk pasport palsu. Mereka boleh berkahwin dengan orang asing lain (sesuatu yang dilarang untuk rakyat Korea Utara), dan anak-anak mereka juga dapat berkhidmat untuk rejim Korea Utara.

Apakah nasib Megumi Yokota?

megumi yokota

Tidak pasti bagaimanakah nasibnya melainkan daripada sumber beberapa individu yang membelot kepada Korea Utara. Pada tahun 1986, Megumi Yokota dikatakan  telah mengahwini seorang warga Korea Selatan, Kim Young-nam yang kemungkinan juga diculik dan pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan pada tahun 1987 bernama Kim Hye-gyong.

Pada bulan Jun 2006, Kim Young-nam yang telah menikah lagi, diizinkan keluarganya dari Korea Selatan mengunjunginya. Semasa perjumpaan itu dia mengesahkan Megumi Yokota telah bunuh diri pada tahun 1994 setelah menderita penyakit mental dan telah melakukan beberapa cubaan untuk membunuh diri sebelum itu.

Kenyataannya bagaimanapun ditolak secara meluas kerana dilihat seolah-olah hanya mengulangi ungkapan pegawai Korea Utara. Ayah Megumi Yokota mendakwa bahawa Kim Young-nam tidak dibenarkan bercakap secara bebas semasa wawancara di Pyongyang dengan menyatakan bahawa “dia mungkin dihadkan mengenai apa yang diucapkan” dan seolah-olah sedang membaca skrip.

Di Jepun, Megumi Yokota secara umumnya dianggap masih hidup. Pada 10 Oktober 2011, Japan Today melaporkan seorang pembelot telah mendedahkan bahawa Megumi Yokota masih hidup.

Kredit:

Japan Times

WSJ

BBC News



[ad_2]
Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular