Ratunaga

Ketua Wanita PKR Terengganu keluar parti

Ketua Wanita PKR Terengganu, Sharifah Norhayati Syed Omar Alyahya, hari ini mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta.

Tindakannya itu turut disertai 15 ahli jawatankuasa serta 116 ahli pergerakan itu.
Beliau turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Terengganu.
Sharifah Norhayati mendakwa keputusan itu dibuat selepas melihat berlaku ketidakadilan di barisan kepemimpinan tertinggi parti.
“PKR melakar sejarah sendiri menjadi juara antara parti politik yang memegang rekod memecat ribuan anggota partinya sendiri tanpa melalui proses perbicaraan.
“Jika diikutkan masalah salah faham antara ahli boleh diselesaikan dalam mesyuarat keluarga tetapi mereka memilih untuk berlaku zalim dengan terus pecat,” katanya kepada media ketika ditemui di Kampung Padang Luas, di sini.
Katanya, perjuangan mereka lebih 20 tahun berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk meraih sokongan wanita juga seolah sia-sia.
“Jika dulu kami lantang berjuang demi sebuah keadilan tetapi kini sesetengah pemimpin parti bertindak salah guna kuasa dan menggunakan kuasa veto untuk kepentingan diri sendiri.
“Tindakan ke atas beberapa pimpinan tertinggi parti yang dipecat seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin serta Haniza Mohd Talha menunjukkan parti tidak berlaku adil,” katanya.
Sharifah Norhayati berkata, mereka akan terus bergerak melalui badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu rakyat.
“Melalui NGO iaitu ‘Nation Of Women’ (NOW) di bawah Haniza kami akan bergerak aktif membantu golongan miskin serta memerlukan bantuan.
“Setakat ini NOW sudah dilancarkan di Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Perak. Bagi Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan akan dibuat pada bulan ini,” katanya.
 
Sumber: BH

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular