Ratunaga

Kaji mekanisme dasar, polisi sebelum tawar PATI bekerja

ISU pendatang asing tanpa izin (PATI) berlarutan sejak sekian lama. Ketika negara yang kini sedang dalam fasa pemulihan perang asimetri COVID-19, isu PATI terus mendapat perhatian masyarakat. Rakyat sudah tentu masih mengingati isu berhubung kluster PATI yang menimbulkan ancaman pada masyarakat setempat.
Namun, kita harus berbangga dan bersyukur dengan kemampuan agensi serta agensi penguatkuasaan yang bekerjasama dalam mengambil langkah pengawalan berkesan yang tepat pada masanya hingga akhirnya penularan kluster PATI COVID-19 dapat dibendung daripada menimbulkan ancaman pada rakyat tempatan. Rakyat juga menjadi ‘perisik awam’ dan bersama-sama membantu membanteras PATI.
Ketegasan kerajaan membawa kepada tahanan PATI di Depoh Tahanan Imigresen (DTI). Kementerian Dalam Negeri (KDN) melontarkan idea bagi mengurangkan kos bebanan kewangan tahanan PATI dengan mencadangkan agar ada dalam kalangan tahanan berkenaan dibenarkan untuk bekerja. Idea membenarkan PATI diambil bekerja dicadangkan berdasarkan penambahan jumlah tahanan PATI di depoh tahanan imigresen.
Isu terbabit wajar diperdebatkan. Cadangan KDN berhubung PATI dalam tempoh fasa pemulihan negara dalam era wabak COVID-19 perlu diberi perhatian serius semua pihak. Cadangan KDN juga turut disokong persatuan yang mewakili kontraktor dalam sektor pembinaan perkilangan dan mereka yang memerlukan bantuan PATI sebagai pembantu rumah.
Namun, dalam konteks ini, ia perlu diperhalusi secara kolektif. Mekanisme dasar dan polisi sistem pengawalan serta sokongan perlu diadakan terlebih dahulu. COVID-19 memberikan implikasi besar dalam sektor ekonomi termasuk peluang pekerjaan.
Semasa operasi membanteras PATI dijalankan di kawasan yang menjadi lubuk pekerjaan PATI, terutama dalam fasa pengekangan penularan wabak COVID-19, berlaku pengurangan terhadap sektor tertentu yang banyak menggunakan khidmat warga asing secara sah dan sebaliknya.
Antara alasan stereotaip yang sering diperkatakan adalah kerana kekurangan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dan meminati sektor tertentu mengakibatkan kadar kebergantungan sektor tertentu terhadap warga asing.
COVID-19 memberikan pelbagai hikmah, termasuk cetusan inovasi khususnya idea tertentu berhubung keselamatan dan ekonomi rakyat negara. Peluang serta hikmah dalam keadaan perang asimetri menentang COVID-19 dalam menangani kesan ketegasan terhadap PATI juga perlu dicetus dan diadaptasikan.
Sebelum mengambil langkah lebih mudah dalam isu bebanan kos PATI di DTI, iaitu melalui pembukaan peluang pekerjaan pada PATI dalam negara, keutamaan harus terlebih dahulu diberikan terhadap cetusan idea yang boleh memanfaatkan rakyat Malaysia secara kolektif.
Ia amat perlu difahami kerana pembukaan peluang pekerjaan kepada PATI akan membuka pelbagai dimensi perbincangan kerana isu terbabit berkait rapat dengan sektor ekonomi, keselamatan dan pembentukan elemen lain dalam konteks berkaitan.
Sebagai contoh, hujah berhubung ada dalam kalangan pekerjaan tertentu tidak disukai dan sebahagian rakyat Malaysia memilih pekerjaan perlu diselesaikan secara komprehensif melalui usaha sama pelbagai hala.
Majikan perlu memberi keutamaan kepada pekerja tempatan dengan inisiatif prihatin dari kerajaan. Majikan yang menawarkan pekerjaan pada rakyat tempatan dalam sektor dimonopoli warga asing diberikan pelepasan cukai tertentu dan menerima inisiatif tunai tambahan.
Pekerja tempatan dalam sektor sama pula diberikan upah nasional dalam bentuk gaji tambahan yang dibayar kerajaan. Inisiatif berkaitan dapat membantu merangsang minat pekerja tempatan menceburi bidang tertentu dan menggalakkan majikan mengambil pekerja tempatan. Ia sekali gus dapat menambahkan nisbah pekerjaan pekerja tempatan berbanding pekerja asing.
Dapatan sambutan daripada majikan sektor berkaitan pula dapat digunakan untuk merancang pelan latihan dan inisiatif tambahan bagi menggalakkan pertambahan nisbah pekerja asing dalam negara sebelum PATI dibenarkan bekerja.
Pertambahan pekerja asing dalam negara juga akan membawa kepada rantaian baharu sektor perbelanjaan domestik khususnya peruncitan oleh pekerja asing dalam negara. Malah, ada sektor peruncitan dalam komuniti warga asing dikuasai sepenuhnya mereka. Ini memberikan kerugian kepada negara dari segi aliran tunai peniaga tempatan yang terpaksa bersaing dengan peniaga warga asing. Ia juga merugikan pungutan cukai negara.
Tindakan membanteras perniagaan haram warga asing secara keseluruhan adalah inisiatif awal yang wajar diberikan perhatian sebelum PATI dibenarkan bekerja kerana mereka akan menjadi penyumbang kepada sektor ekonomi gelap khususnya peruncitan.
Pemantauan dan pergerakan kewangan serta perbelanjaan warga asing dalam negara harus dijadikan strategi ekonomi penting bagi menaikkan pembabitan peniaga tempatan dan merangsang sistem percukaian negara.
Langkah seperti mewajibkan sebahagian pembayaran gaji bakal pekerja PATI melalui pembayaran kupon produk tempatan adalah contoh langkah timbal balik adil dan berkesan bagi membolehkan ekonomi tempatan diberikan keutamaan dalam nisbah perbelanjaan pendapatan pekerja asing dan bakal PATI sekiranya dibenarkan bekerja.
Di samping itu, dapatan psikoanalisis berhubung segmentasi perwatakan PATI dalam dalam DTI boleh membantu mengenal pasti identiti sebenar perwatakan parti bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya aktiviti kurang sihat dan permasalahan jenayah sekiranya mereka dibenarkan bekerja dalam negara.
Mekanisme pengawalan perlu dirancang dan dibangunkan dengan berkesan bagi menjaga kepentingan negara. Langkah penambahbaikan pengekangan kemasukan PATI harus terus diberi keutamaan kerana ia adalah punca utama permasalahan berbangkit berkaitan PATI.
Keselamatan dan kepentingan rakyat harus diberi keutamaan dalam apa jua keputusan yang diambil oleh kerajaan khususnya isu PATI kerana dalam fasa pemulihan perang asimetri COVID-19, segala keputusan adalah penting bagi memberikan manfaat pada negara dan rakyat secara keseluruhan.

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular