Ratunaga

Ini Bagaimana Empangan Gergasi Di China Memperlahankan Putaran Bumi – Three Gorges Dam

empangan three gorges empangan yang memperlahankan putaran bumi 2

Sejak projek Empangan Three Gorges bernilai RM128.6 bilion ini diumumkan, pegawai kerajaan China telah berhadapan penilitan dan pengawasan ketat daripada kedua-dua saintis dan juga aktivis alam sekitar.

Namun, kerajaan China akhirnya mengakui bahawa projek itu sebagai projek yang tidak dirancang betul, selepas bertahun-tahun menggelar empangan itu sebagai salah satu karya kejuruteraan paling menakjubkan dalam sejarah China.

Visi untuk membina Empangan Three Gorges ini bermula pada tahun 1919, apabila Presiden sementara Republik China iaitu Sun Yat-sen membayangkan untuk membina sebuah empangan besar di Sungai Yangze.

Empangan Three Gorges adalah empangan graviti hidroelektrik yang merentasi Sungai Yangtze di pinggir kota Sandouping, di Hubei, China tengah.

para pekerja menunjukkan pelan empangan three gorges pada september 1995

(Tiga pekerja menunjukkan pelan Empangan Three Gorges pada September 1995)

Mula dibina pada 14 Disember 1994, empangan dibuka pada tahun 2003 selepas 9 tahun pembinaan. Ia mempunyai ketinggian 181 meter, panjang 2,335 meter dan lebar 115 meter.

Selain daripada menjana elektrik, Empangan Three Gorges bertujuan untuk meningkatkan kapasiti perkapalan Sungai Yangtze.

Empangan ini tersangat besar sehinggakan ia mampu menjana 93.5 TWh elektrik setiap tahun.

Sebagai gambaran mudah, elektrik yang boleh dijana oleh empangan ini mampu menampung penggunaan elektrik di New Zealand, Ireland, Iceland, Costa Rica, Bahamas dan Rwanda digabungkan.

Malah, ia juga telah menjadi stesen janakuasa terbesar di dunia dari segi kapasiti terpasang (22,500 MW) sejak 2012.

Selepas hujan lebat pada tahun 2020, pengeluaran tahunan empangan mencapai ini mencapai 112 TWh, memecahkan rekod dunia sebelumnya iaitu 103 TWh yang dicatatkan oleh Empangan Itaipu di Brazil pada tahun 2016.

perobohan bangunan untuk empangan three gorges

(Penduduk Fengjie menyaksikan perobohan bangunan di bandar mereka pada 4 November, 2002, untuk memberi ruang kepada resevoir Empangan Three Gorges ini)

Dengan menyediakan ruang simpanan banjir, bendungan ini mengurangkan potensi banjir di hilir yang mungkin dapat memberi kesan kepada jutaan penduduk.

China menganggap projek itu sebagai kejayaan sosial dan ekonomi yang penting, dengan reka bentuk turbin besar canggih dan langkah untuk menghadkan pembebasan gas rumah hijau.

Walau bagaimanapun, ramai yang percaya bahawa projek ini mengakibatkan malapetaka dan kebimbangan ini melibatkan empangan yang memerangkap pencemaran, menyebabkan gempa bumi dan tanah runtuh, pengusiran rakyat di mana lebih dari 1.3 juta penduduk dipaksa berpindah, memusnahkan lokasi bersejarah, dan mengancam habitat haiwan terancam.

Memperlahankan putaran Bumi

imej satelit empangan three gorges

Namun, implikasi empangan melebihi kesannya terhadap alam sekitar dan kemampuannya untuk membekalkan tenaga di mana ia juga mengubah bagaimana Bumi berputar.

Apabila paras air berada di tahap maksimum, ia akan membanjiri kawasan seluas 632 kilometer persegi, sekitar 2.5 kali ganda keluasan Kuala Lumpur.

Takungan ini akan mengandungi sekitar 39.3 kilometer padu air dan air ini adalah seberat 39 trilion kilogram atau 39 bilion tan.

Anjakan jisim sebesar ini akan mempengaruhi putaran Bumi kerana fenomena yang dikenali sebagai “Moment of Inertia”, yang merupakan inersia objek kaku yang berputar terhadap putarannya.

Momen inersia sesebuah objek terhadap paksi tertentu menggambarkan betapa sukarnya untuk mengubah gerakan sudut terhadap paksi tersebut.

empangan three gorges air mengalir keluar

(Air mengalir keluar melalui Empangan Three Gorges)

Semakin panjang jarak sesuatu jisim ke paksi putarannya, semakin perlahan putarannya. Mungkin kita tidak menyedari perkara ini namun kita pernah melihatnya dalam kehidupan seharian.

Sebagai contoh, atlet luncur ais yang cuba untuk berputar dengan lebih pantas akan merapatkan lengannya ke badan, dengan ini mengurangkan moment of inertia.

Atlet penerjun yang cuba untuk melakukan somersault dengan lebih pantas akan merapatkan badannya ke kaki. 

Jadi, apa yang dilakukan China dengan Empangan Three Gorges ini adalah menaikkan permukaan air di Sungai Yangtze hingga 175 meter di atas permukaan laut.

Dengan menaikkan paras air setinggi ini dengan air seberat 39 trilion, ia meningkatkan momen inersia Bumi sekaligus memperlahankan putarannya.

Walaupun begitu, kesannya adalah agak kecil, di mana para saintis NASA memberitahu bahawa anjakan ini memanjangkan jumlah masa putaran Bumi sebanyak 0.00000006 saat atau 0.06 mikrosaat.

Perubahan ini juga menjadikan Bumi sedikit lebih bulat di tengah dan lebih rata di bahagian atas.

Menjelang tahun 47,650, perubahan tempoh putaran Bumi akan bertambah sebanyak 1 saat, disebabkan oleh empangan ini.

empangan three gorges

Tak cukup dengan itu, peralihan air ini juga menggerakkan kutub utara dan selatan (titik di mana paksi putaran Bumi bertemu dengan permukaan) sebanyak 2 sentimeter.

Satu-satunya kesan yang nyata yang dirasakan pada ketika ini adalah mereka harus menggerakkan penanda di Kutub Selatan sedikit demi sedikit, namun perkara ini sememangnya telah lama dilakukan kerana kedua-dua kutub ini bergerak 16.5 sentimeter setiap tahun.

Jisim bumi sentiasa berubah-ubah dan yang terbaru adalah disebabkan oleh pencairan ais Artik dan kehilangan air di Eurasia.

Dan walaupun Empangan Three Gorges ini cukup besar untuk menggerakkan kutub Bumi sejauh 2 sentimeter, namun pergerakkan kecil ini mungkin tidak memberi kesan kepada kehidupan kita.

Malah, putaran Bumi sememangnya berubah dengan kerap, dengan banyak perkara yang mempengaruhinya.

Pertama, Bulan secara beransur-ansur menjauhi Bumi dan ini sedikit sebanyak mengubah putaran Bumi.

Gempa bumi, seperti gempa bumi mega di Jepun pada tahun 2011 juga mempengaruhi proses ini, di mana gempa bumi ini mengubah putaran Bumi sebanyak 2.68 mikrosaat atau 0.00000268 saat.

Tambahan pula, setiap lima tahun atau lebih, tempoh masa sehari meningkat dan berkurang sekitar 1 milisaat atau 0.001 saat, atau 373 kali lebih besar dari perubahan yang disebabkan oleh gempa bumi Jepun 2011 itu.

Rujukan:

1. CNN

2. Futurism

3. Kinetica




Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular