Ratunaga

Chuck Feeney – Bilionair yang Ingin Mati Dalam Keadaan Papa Kedana

Kita sering mendengar impian kebanyakan orang untuk menjadi kaya-raya. Ada yang mengimpikan menjadi jutawan bahkan tidak kurang juga yang ingin menjadi bilionair.

Namun, pernahkah anda terdengar seorang bilionair mengimpikan untuk menjadi papa kedana? Walaupun pelik, itulah impian seorang bilionair ini dan berikut adalah kisahnya.

Ingin mati papa kedana

Charles “Chuck” Feeney, 89, adalah nama yang tidak asing lagi dalam senarai Forbes di mana dia merupakan antara orang terkaya dunia. Namun, impian pelik Feeney inilah membuatkan dia berbeza berbanding tokoh jutawan lain.

chuck feeney

Charles “Chuck” Feeney

Feeney dan rakannya, Robert Miller, merupakan pengasas kepada Duty Free Shoppers iaitu kedai runcit di lapangan terbang di seluruh dunia sejak tahun 1960. Walaupun mengaut keuntungan berbilion-bilion dollar, Feeney lebih selesa hidup sederhana.

Dia merupakan seorang dermawan terkenal dan pelopor idea “Giving While Living” atau Memberi Semasa Hidup. Dia ingin menghabiskan hartanya dengan menderma ketika hidup, bukan mewasiatkan hartanya kepada badan amal setelah meninggal dunia. 

Feeney memberitahu Forbes bahawa dia mahu memberi, mengendali dan melihat sendiri ke mana wangnya dibelanjakan ketika hidup kerana kekayaan tidak bermakna kepadanya setelah mati. Caranya mungkin berbeza tetapi dia sangat berpuas hati dan berterima kasih kepada dermawan lain yang menyertainya.

Selama empat dekad yang lalu, Feeney telah menyumbangkan lebih daripada RM 32.5 bilion kepada badan amal, universiti dan yayasan di seluruh dunia melalui yayasannya, Atlantic Philanthropies.

Idola orang terkaya dunia

charles feeney bersama warren buffett

Feeney bersama Warren Buffett

Ketika ditemu bual pada 2012, Feeney berkata dia hanya mengasingkan sekitar RM 8 juta sahaja sebagai wang persaraan. Jumlah itu adalah beribu-ribu kali ganda lebih sedikit berbanding kekayaan sebenarnya.

Tidak seperti dermawan lain yang mahukan publisiti meluas bagi derma yang dilakukan, Feeney pula melakukannya secara rahsia. Forbes menggelar Feeney sebagai Dermawan James Bond.

Selain mempunyai rangkaian kedai di lapangan terbang, Feeney juga mempunyai syarikat ekuiti swasta, General Atlantic. Walaupun sangat kaya, Feeney hanya tinggal di sebuah pangsapuri biasa sahaja di San Francisco.

Kini, sikap murah hati Feeney bukan lagi rahsia. Dia menjadi idola dan wira kepada bilionair-bilionair lain. Pada tahun 2010, Bill Gates dan Warren Buffett telah melancarkan “Giving Pledge” iaitu kempen agresif untuk mengajak orang terkaya dunia mendermakan separuh kekayaan mereka sebelum meninggal dunia.  

feeney di apartmentnya

Feeney di kediamannya

Warren Buffett memberitahu bahawa Feeney merupakan inspirasi utama kempen ini dijalankan. Buffett juga berseloroh bahawa dia memerlukan masa sekurang-kurangnya 12 tahun selepas kematiannya untuk menyamai pencapaian hidup Feeney dalam menderma.

Tujuan penting untuk kesan dramatik

Feeney banyak mendermakan wangnya kepada permasalahan besar. Antara derma yang diberikan Feeney adalah untuk program keamanan di Ireland Utara, memodenkan sistem kesihatan di Vietnam dan menjadikan Pulau Roosevelt yang terabai di New York sebagai hab teknologi.

Dia tidak mahu menubuhkan badan amal yang mengumpulkan dana daripada orang ramai atau menderma untuk perkara yang remeh. Dia mencari tujuan penting untuk menderma supaya semua orang mendapat kesan besar daripadanya.

Pada tahun 2019, seorang wartawan Forbes berkerjasama dengan badan kebajikan Feeney iaitu Atlantik Philanthropies bagi merangkum pemberian dermawan itu selama beberapa dekad. Walaupun rekod dermanya mengandungi ratusan statistik dan data, Feeney secara ringkas merumuskan misinya dalam beberapa ayat sahaja: 

Mengapa tangguhkan pemberian yang mampu memberi banyak kebaikan dan manfaat? Selain itu, lebih seronok menderma ketika hidup berbanding sesudah mati.

Berakhirnya misi badan amal Feeney

feeney menandatangani dokumen penutupan badan amalnya

Feeney menandatangani dokumen penutupan badan amalnya, Atlantic Philanthropies

Pada 14 September 2020, genaplah misi menderma Feeney selama 40 tahun lamanya dan dia menandatangani dokumen untuk menutup Atlantic Philanthropies. Ramai tokoh dan dermawan ternama mengucapkan terima kasih kepada Feeney atas jasa yang telah dilakukannya.

Pada waktu kemuncaknya, Atlantic Philanthropies mempunyai seramai 300 orang pekerja dan 10 pejabat di seluruh dunia. Sebenarnya, Feeney telah merancang penutupan badan amalnya itu bertahun-tahun lebih awal. Dia mahukan satu tarikh sebagai “dateline” supaya dia dapat menghabiskan wang dan misinya dengan lebih berdisplin.

Selain itu, dia juga memerlukan masa untuk membuat dokumentasi tentang sejarah, strategi dan pencapaian badan amalnya supaya menjadi rujukan institusi lain. Feeney juga tidak berniat untuk bertahan lama dalam bidang ini kerana mahu menghabiskan hartanya dengan cepat.

Walaupun ditamatkan, pengaruh badan amalnya itu masih memberi impak besar di seluruh dunia. Namun, ke mana perginya derma Feeney sebanyak RM 32.5 bilion itu?

chuck feeney quote

Feeney mendermakan sebanyak RM 15.06 bilion untuk pendidikan, RM 3.54 billion untuk hak asasi manusia dan perubahan sosial, RM 252 juta dalam bentuk geran untuk menghapuskan hukuman mati di A.S dan RM 309 juta untuk menyokong kempen Obamacare (program kesihatan ketika era Obama).

Selain itu, Feeney juga mendermakan sebanyak RM 1 bilion untuk penjagaan kesihatan awam di Vietnam dan RM 716 juta kepada Institut Kesihatan Otak Global. Derma terakhirnya berjumlah RM 1.42 bilion diberikan untuk membina kampus teknologi di Pulau Roosevelt di New York. Banyak lagi derma-derma Feeney yang dirahsiakan atau terlalu panjang untuk diceritakan.




Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular