Ratunaga

Bagaimana Watak Kumamon Jana Berbilion Dollar Untuk Jepun

kumamon

Pada abad ke 17, Miyamoto Musashi – seorang samurai legenda yang berasal dari Kyushu adalah penduduk Kumamoto yang paling terkenal dan dianggap sebagai satu ikon. Namun, segalanya berubah apabila sebuah karakter beruang hitam dengan pipi merah merampas takhta tersebut.

Sekiranya anda sudah menghabiskan masa lama di internet, anda pasti pernah mendengar mengenai karakter beruang hitam yang dikenai sebagai “Kumamon” bukan? Beruang comel ini bukan biasa-biasa, sebaliknya merupakan kebanggaan rakyat Jepun.

Kumamon adalah maskot yang dibuat oleh pemerintah prefektur atau wilayah Kumamoto (sebuah wilayah adalah seperti sebuah negeri di AS atau sebuah daerah di England). Karakternya dibuat pada tahun 2010 untuk kempen yang dibuat untuk menarik pelancong ke wilayah tersebut setelah laluan kereta api laju shinkansen ke Kyushu dibuka.

Kumamon kemudiannya menjadi popular di seluruh negara dan pada akhir tahun 2011, terpilih sebagai pemenang apabila mendapat ujian tertinggi dalam kaji selidik maskot atau yuru-chara di seluruh negara dengan mengumpulkan lebih dari 280,000 undi.

Impak Kumamon terhadap ekonomi

pendapatan kumamon

Kumamon merupakan nama yang menggabungkan perkataan Jepun untuk beruang (kuma) dengan slanga tempatan untuk lelaki (mon). Ianya diperkenalkan pada 12 Mac 2011. Tarikh itu menandakan pembukaan laluan shinkansen Kyushu yang menghubungkan Kumamoto ke seluruh pulau dalam usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung ke bandar. Peristiwa ini merupakan inspirasi di sebalik konsep Kumamon.

Ianya tidak mengambil waktu yang lama untuk populariti Kumamon meningkat naik, dibantu oleh strategi pemasaran yang berani dari pemerintah wilayah Kumamoto. Antaranya, pegawai pemerintah tempatan membenarkan pengeluar atau penjual produk untuk menampal atau meletakkan wajah Kumamon yang comel pada apa sahaja yang mereka mahukan tanpa royalti dan dengan persetujuan.

Hasilnya? Barangan atau produk yang menggunakan imej Kumamom berjaya menjana jualan bernilai billion ¥2.5 bilion (US$26 juta) pada tahun 2011, sebelum meraih ¥29.3 bilion (US$280 juta) pada tahun 2012, peningkatan yang mendadak.

Perlesenan percuma Kumamon 

buah kumamon

Perlesenan percuma Kumamon ini bermaksud wang tunai yang dijana oleh peniaga ini tidak masuk ke akaun pemerintah, tetapi Bank of Japan menganggarkan bahawa Kumamon mengepam ¥123.2 bilion (sekitar US$123.2 bilion) ke wilayah itu sebelum ulang tahun keduanya.

Lebih dari 100,000 barangan kini memiliki wajahnya yang comel itu dan pihak pemerintah masih mendapatkan 400 permohonan baru setiap bulan. Ternyata, impak Kumamon cukup besar terhadap ekonomi di Kumamoto khususnya. Kumamon telah menjadi lebih daripada sekadar simbol untuk wilayah itu dan lebih dari sekadar strategi untuk mendorong produk pelancongan dan pertaniannya.

Beberapa pegawai tempatan di Kumamoto sendiri pada awalnya tidak menggemari Kumamon. Mereka berpendapat Kumamon akan menakut-nakutkan bakal pelancong yang bimbang akan menghadapi beruang liar yang tidak ada di wilayah tersebut. Namun, gabenor Kumamoto sangat meminati Kumamon dan dengan senang hati tidak meletakkan bayaran yuran perlesenan untuk Kumamon, mendorong pengeluar untuk menggunakannya tanpa sebarang royalti.

Untuk mendapatkan kebenaran untuk menggunakan gambar Kumamon, syarikat diminta untuk menyokong Kumamoto. Mereka  tidak perlu membayar apa-apa yuran tetapi hanya perlu memastikan barang jualan tersebut atau sebahagiannya merupakan buatan tempatan atau dengan mempromosikan kawasan tersebut pada bungkusan mereka. 

Ternyata, ini merupakan strategi yang bijak dan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak penjual dan pihak pemerintah wilayah tersebut.

Kawaii, atau “budaya kecomelan”

kartun kumamon

Kumamon adalah salah satu “yuru-chara” yang paling berjaya di Jepun, yakni watak comel yang digunakan untuk mempromosikan perniagaan, acara atau destinasi di seluruh Jepun. Rahsia kejayaan Kumamon?

Kawaii, atau “budaya kecomelan” orang Jepun.

Kawaii adalah salah satu perkataan Jepun yang sukar diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. ‘Kecomelan’ ​mungkin adalah perkataan yang terhampir untuk mendefinasikannya, tetapi gagal merangkumi suasana positif dan kasih sayang yang disertakan dengan kawaii.

Bayangkan keseronokan dan keakraban seorang anak kecil bersama beruang teddy mereka, tetapi pada skala yang lebih luas di seluruh masyarakat. Itulah faktor kejayaan Kumamon, rakyat Jepun merasakan Kumamon begitu dekat dengan mereka seolah-olah watak ini benar-benar hidup.

kafe kumamon

Terdapat banyak lagi perbezaan yuru-chara berbanding maskot satu dimensi yang menjadi imej restoran makanan segera atau sesuatu sukan di negara-negara Barat. Ikon Jepun ini mempunyai keseluruhan latar belakang dan keperibadian, seolah-olah mereka benar-benar hidup di alam nyata.

Kumamon, misalnya, memiliki pejabat di mana dia menjalankan tugasnya sebagai pengurus penjualan dan kebahagiaan Kumamoto. Ya, itu adalah gelaran rasmi bagi Kumamon.

Yuru-chara adalah sesuatu yang serius bagi bandar-bandar Jepun dan warganya. “Sento-kun” –  bayi Buddha dengan tanduk rusa yang diciptakan oleh kota Nara untuk memperingati ulang tahun ke-1300 ibu kota kuno Jepun Heijō-kyō pada tahun 2010 – ditolak oleh orang ramai. Kumamon bagaimanapun, menikmati sambutan yang lebih hangat sejak hari pertama kemunculannya.

Kredit:

  1. BBC News
  2. Nikkei Asia
  3. Culture Trip
  4. Wikipedia




Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular