Ratunaga

Adakah Korea Utara Mampu Serang Amerika Syarikat?

Pada Ogos 2017, Pemimpin Tertinggi Korea Utara iaitu Kim Jong Un telah mengancam akan menyerang wilayah Amerika Syarikat di Guam. Bekas Presiden Donald Trump memberi jawapan balas bahawa Korea Utara akan menyaksikan “api kemarahan yang tidak pernah disaksikan dunia” jika Jong Un terus mengugut Amerika dan sekutunya.

senjata nuklear korea utara 968

Sementara perbalahan itu berterusan, penduduk guam dan negara-negara lain khuatir jika Korea Utara benar-benar memiliki kemampuan untuk menyerang mereka apalagi jika memiliki peledak nuklear yang cukup kecil untuk dipasang pada peluru berpandu.

Empat tahun kemudian, Amerika Syarikat sudahpun mempunyai presiden baru iaitu Joe Biden tetapi tiada sebarang serangan yang dilancarkan Korea Utara. Namun, analisis oleh Badan Perisikan Pertahanan A.S menunjukkan bahawa Korea Utara berjaya menghasilkan peledak nuklear mini yang muat dipasang bersama peluru berpandu.

Persoalannya, adakah peluru berpandu itu mampu mencapai Amerika Syarikat? Apa perkembangan terbaru sejak kali terakhir Kim Jong Un menyatakan misi nuklearnya berjaya pada April 2018?

Sejauh mana kehebatan senjata Korea Utara?

perarakan ketenteraan korea utara 2020

Seorang lelaki menyaksikan Hwarong-15 dalam perarakan ketenteraan Korea Utara 2020

Menurut penyelidik kanan Heritage Foundation, Bruce Klingner, kemungkinan itu sangat tinggi. Jika tidak, mana mungkin Korea Utara berani melakukan provokasi kosong terhadap AS dan Korea Selatan.

Tambahan pula, Korea Utara telah memperkenalkan ICBM (intercontinental ballistic missile atau peluru berpandu balistik antara benua) terbaru mereka pada Oktober 2020. Kim Jong Un mungkin akan melakukan ujian ICBM terbaru mereka dalam masa terdekat sekaligus meningkatkan lagi ketegangan antara Pyongyang dan Washington.

Korea Utara telah melakukan ujian peledak nuklear mereka pada tahun 2006, 2009, 2013, 2016 dan 2017. Menurut Nuclear Threat Initiative, Korea Utara mampu memajukan uranium dan menghasilkan senjata kelas plutonium. Mereka juga dipercayai memiliki senjata biologi dan kimia.

Regim komunis itu juga berjaya menguji tiga ICBM iaitu dua Hwasong-14 dan satu Hwasong-15 yang berpotensi untuk sampai ke Amerika. Dalam ujian pertama Hwasong-14 pada 4 Julai 2017, peluru berpandu itu mampu mencapai ketinggian 2,801 km dan terbang selama 40 minit merangkumi jarak sejauh 933 km ketika jatuh.

hwasong 15 427

Ujian kedua Hwasong-14 pula dilakukan pada 28 Julai 2017. ICBM itu terbang setinggi 3,725 km dan menurun pada jarak sejauh 1,000 km sebelum jatuh di Laut Jepun. Berikutan dua ujian itu, Setiausaha Negara AS ketika itu, Rex Tillerson, menggesa komuniti dunia supaya membantah dan mengecam tindakan Korea Utara itu.

Senjata yang menakutkan Amerika Syarikat

Pada jam 3 pagi 29 November 2017, Korea Utara melancarkan pula ICBM Hwasong-15. Ramai penganalisa menyangka ia adalah Hwasong-14 yang ketiga dilancarkan tetapi ternyata meleset apabila video yang dikeluarkan Korea Utara menunjukkan peluru berpandu yang berbeza.

Terdapat laporan berbeza yang dikeluarkan Amerika dan sekutunya termasuk Britain dan Perancis. Mereka mendakwa bahawa peluru berpandu Hwasong-15 tidak menimbulkan ancaman terhadap benua Amerika Utara.

Namun, laporan yang dikeluarkan Korea Utara menunjukkan bahawa Hwasong-15 terbang selama 53 minit sehingga ketinggian 4,475 km sebelum menurun merangkumi jarak 950 km. Perlu diingatkan bahawa ujian peluru berpandu yang dilakukan ditembak ke atas, bukannya pada sasaran tertentu.

hasil ujian icbm korea utara

Berdasarkan trajektori dan jaraknya, peluru berpandu Hwasong-15 mampu mencapai jarak melebihi 13,000 km jika ditembak ke arah sasaran. Ia lebih daripada cukup untuk mencapai Washington D.C. dan seluruh Amerika Syarikat.

Ujian senjata lain

Dua bulan sebelum itu, Korea Utara juga melakukan ujian yang didakwa mereka sebagai senjata termonuklear. Ujian itu menghasilkan letupan bersamaan 140 kilotan TNT, menjadikannya paling besar dari semua ujian yang dilakukan. Terdapat penganalisa lain yang menganggarkan letupan itu mungkin melebihi 250 kiloton.

Korea Utara juga terus menguji roket jarak dekat mereka termasuk SLBM (submarine-launched ballistic missile atau peluru berpandu balistik kapal selam) Polaris 1. Pada Mac 2016, mereka juga melakukan ujian motor roket menggunakan bahan bakar pepejal.

Pada April 2016, mereka berjaya melancarkan SLBM menggunakan bahan bakar pepejal asli yang terbang sejauh 30 km. Hanya empat bulan selepas itu, Korea Utara melancarkan SLBM kedua yang mampu bergerak sejauh 500 km.

Kini, terbuktilah bahawa Korea Utara memiliki senjata nuklear yang canggih. 

Negara paling berisiko sebagai sasaran

jarak peluru berpandu korea utara 261

Mereka yang paling berisiko diserang Korea Utara adalah sekutu dan jajahan Amerika di Semenanjung Korea termasuk Jepun, Korea Selatan dan Guam. Ancaman Kim Jong Un terhadap 25 juta penduduk Seoul bukanlah sesuatu yang baru.

Kini, ancaman itu semakin meningkat apabila Korea Utara memiliki kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu melintasi Laut Jepun, Guam, Hawaii, Alaska bahkan daratan Amerika Syarikat.

Guam mungkin menjadi sasaran utama memandangkan ia merupakan pangkalan tentera AS yang strategik. Guam juga dilengkapi bom nuklear Amerika yang dapat menyerang Korea Utara dalam masa beberapa minit.

Walaupun masih terdapat perdebatan sama ada ICBM Korea Utara mampu mencapai AS atau tidak namun tiada keraguan sama sekali bahawa peluru berpandu jarak dekatnya boleh mencapai negara jiran.

Ini bermaksud Jepun dan Korea Selatan mempunyai ancaman tinggi sama ada dari senjata nuklear atau senjata konvensional Korea Utara. Tambahan pula, tentera AS mempunyai aset yang penting di kedua-dua negara itu.

Satu-satunya pertahanan menghadapi serangan Korea Utara adalah dengan menggunakan THAAD (Terminal High Altitude Area Defense), sistem pertahanan yang dapat memintas dan menembak jatuh peluru berpandu balistik pendek dan sederhana. Namun, ia tidak dapat memintas ICBM, jenis peluru berpandu yang berjaya diuji Korea Utara.

Kebimbangan AS dan kedegilan Kim Jong Un

kim jong un

Apa yang lebih membimbangkan dan ditakuti Washington ialah jika Korea Utara menjual senjatanya kepada negara lain yang bukan merupakan sekutu kepada Amerika Syarikat.

Sebagai tindak balas terhadap ancaman Kim Jong Un, Majlis keselamatan PBB memutuskan sebulat suara pada Ogos 2017 untuk mengenakan sekatan ketat terhadap perdagangan antarabangsa Korea Utara.

Sekatan itu menyebabkan Pyongyang kerugian sebanyak RM 4 bilion setahun, satu harga yang besar bagi negara miskin itu. Matlamat sekatan itu adalah untuk memaksa Jong Un membubarkan program senjata nuklearnya dan mula berunding. Namun, ia gagal.

Sementara itu, Korea Selatan dan Amerika Syarikat juga menunjukkan kekuatan mereka dengan mengadakan latihan ketenteraan setiap tahun di Lautan Pasifik (mereka batalkan sepenuhnya pada 2020 akibat Covid-19). Korea Utara sering menganggap latihan ini sebagai tindakan provokasi.

Malah, adik kepada Jong Un iaitu Kim Yo Jong yang juga merupakan ahli politik Korea Utara memberi amaran kepada Joe Biden ketika dia baru dilantik sebagai Presiden AS. 

Kami mengambil kesempatan ini untuk memberi amaran kepada pentadbiran AS yang baru supaya jangan cuba mengganggu negara kami. Jika anda ingin hidup selesa selama empat tahun ke hadapan, mulakan langkah pertama anda dengan berhati-hati.




Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular