Connect with us

BERITA

Perbanyak kawasan untuk pelukis mural berkarya

Published

on

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat memperbanyakkan tempat bagi artis mural berkarya termasuk mewartakan sesuatu kawasan atau mengadakan dinding khas untuk golongan seni itu ‘mencurahkan’ kreativiti mereka.

Pelukis mural, Abdul Hadi Ramli, 27, berkata ia bukan saja menjadi platform untuk memaparkan hasil seni, pada masa sama mampu mengindahkan kawasan dan ‘menghidupkan’ tempat berkenaan.

“Kebanyakan pelukis mural ini mahu menzahirkan karya mereka pada dinding. Kita sebenarnya ramai artis seni yang berpotensi di negara ini tetapi tidak diberikan ruang dan peluang.

“Kami pun sebenarnya menghasilkan ia (lukisan mural) secara bersahaja untuk suka-suka, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ada board laman seni, maka saya rasa ia mungkin boleh dinaik taraf supaya lebih banyak karya seni dapat dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam program ‘Darah Muda’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Abdul Hadi adalah seorang daripada pelukis mural gergasi pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam bersama dua rakannya, Muhammad Suhaimi Ali, 27, dan Muhamad Firdaus Nordin, 26.

Bagaimanapun, baharu saja berusia dua minggu menjadi tarikan, mural di dinding sebuah bangunan itu dicemari vandalisme dengan contengan semburan cat merah memaparkan perkataan tidak menyenangkan, tiga hari lalu.

Keadaan itu menyebabkan seluruh lukisan di dinding itu terpaksa dipadam dengan dicat semula dengan warna putih.

Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Hadi mengakui kecewa dengan tindakan orang awam yang mungkin ‘buta seni’ itu sehingga tergamak melakukan perkara berkenaan.

Namun, beliau dan rakan yang terbabit dalam projek seni itu tetap positif dan menganggap ia sebagai suatu cabaran dalam bidang itu.

“Siapa yang tak kecewa melihat karya diconteng dengan kata-kata kesat, rasa penat lelah tidak dihargai. Tapi kita sentiasa positif, lepas dapat maklum balas daripada orang ramai yang turut tidak bersetuju dengan perkara itu, kami lagi bersemangat untuk menghasilkan mural lain, ia juga sebagai pemangkin semangat,” katanya.

Katanya, hasil mural itu juga mampu meningkatkan ekonomi kawasan terbabit, justeru, karya itu perlu dipelihara dan dijaga.

“Seni itu bertujuan mencantikkan kawasan dan menjadi tarikan orang ramai, bukan memburukkan. Ia dapat membina ekonomi di situ.

“Contohnya kawasan Seksyen U12, Shah Alam, pada asalnya orang tak tahu tapi disebabkan mural ini, orang dah mula beri perhatian,” kata lulusan Sarjana Seni Halus dan Teknologi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Mengulas perjalanan mereka selepas ini, Abdul Hadi berkata, beliau dan rakannya merancang untuk menghasilkan mural berskala besar dan di lokasi kedudukan yang tinggi bagi mengelakkan karya mereka dimusnahkan orang awam sekali lagi.

Beliau turut menasihati pelukis mural untuk menghindarkan karya yang berbentuk negatif sehingga memberi pengaruh tidak baik kepada masyarakat khususnya generasi muda.

“Mural ini juga bertujuan mendidik masyarakat, ada maksudnya tersendiri, macam mural yang kami hasilkan itu, ia sebagai tanda terima kasih kepada pengorbanan pemimpin negara mendepani pandemik COVID-19, bagaimana pemimpin ini tangani dengan baik,” katanya yang bercita-cita supaya karya mereka dapat dipamerkan di Balai Seni Negara pada masa hadapan.

Sumber: BH

Copyright © 2020 Ratunaga. All Rights Reserved.