Connect with us

BERITA

Kes aktif kembali ke tiga angka COVID-19

Published

on

PUTRAJAYA: Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini kembali ke tiga angka iaitu 103 kes, selepas 15 kes baharu dilaporkan setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 11 daripada kes positif baharu dilaporkan hari ini adalah jangkitan tempatan manakala empat lagi adalah kes import.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kes yang sudah pulih dan dibenarkan discaj dicatatkan hari ini.

Katanya, setakat tengah hari tadi, kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 103 kes.

“Daripada 15 kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan dua warga Malaysia dan dua warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja dan pasangan kepada rakyat Malaysia.

“Empat kes import itu adalah dari United Kingdom (dua kes) dan masing-masing satu kes dari India serta Libya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, lapan kes penularan tempatan membabitkan rakyat Malaysia manakala tiga lagi kes adalah warga asing.

Beliau berkata, lima daripada lapan kes membabitkan rakyat Malaysia adalah di Sarawak iaitu dua kes saringan rawak di lapangan iaitu di pintu masuk utama negeri itu dan masing-masing satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif sebelum ini, satu saringan kendiri dan satu kes saringan sebelum kembali bekerja.

Katanya, satu kes di Selangor membabitkan saringan pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia; satu kes saringan prosedur di Hospital Queen Elizabeth 2, Sabah dan satu kes kematian di Johor.

“Bagi kes jangkitan dalam negara tiga kes dalam kalangan warga asing ialah satu kes dilaporkan daripada Kluster Restoran Kuala Lumpur, satu kes Kluster Rumah Kongsi Sepang di Selangor dan satu kes daripada Kluster Jeti Kuching.

“Sehingga kini, hanya dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

 

Copyright © 2020 Ratunaga. All Rights Reserved.