Connect with us

BERITA

PM: Hanya 5 menteri belum isytihar harta

Published

on

KUALA LUMPUR: Sebanyak 97 peratus Jemaah menteri sudah mengisytiharkan harta manakala lima lagi diminta segera berbuat demikian, kata Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Perdana Menteri berkata, sebahagian besar timbalan menteri juga sudah mengisytiharkan harta.

Katanya, Ahli Parlimen pembangkang sudah berbuat demikian.

“Dalam data etika untuk isytihar bukan sebulan, tapi tiga bulan. Oleh sebab itu, masa sudah diberikan bagi saya mencukupi.

“Dari senarai Kabinet, 97 peratus sudah menyerahkan (isytihar), ada lima saya tidak mahu sebut, tapi saya minta disegerakan.

“Timbalan menteri dan Ahli Parlimen sebelah sana banyak yang diisytihar, di belah sini (blok kerajaan) ramai yang baru, jadi memerlukan sedikit masa,” katanya menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (BERSATU-Beaufort) berkenaan penggubalan undang-undang bagi mengawal sumbangan politik, Muhyiddin berkata, setakat hari ini, Pusat Governans Integriti dan Antirasuah Nasional (GICC) masih belum menerima apa-apa laporan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Memang terdapat keperluan kita wujudkan suatu rang undang-undang yang mengawal sumbangan politik dan secara amnya, keperluan ini sudah dinyatakan di bawah inisiatif 1.2.5 NACP (Pelan Anti-rasuah Nasional).

“Setakat ini, dasar sumbangan politik dalam kerangka undang-undang sudah dikemuka dalam jawatankuasa pilihan khas, menimbang RUU Parlimen yang dibentang 7 November 2019 dalam pentadbiran lalu.

PAC sudah diminta menyediakan laporan berkaitan dasar sumbangan politik kepada kerajaan.

“Saya kira PAC baru dibentuk. Mengambil kira keadaan semasa PAC dan akan mengemukakan kepada kerajaan bila siap nanti,” katanya.

Menjawab soalan asal Azizah, Muhyiddin berkata, kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti-rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kerajaan.

Katanya, peranan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) sebagai Sekretariat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dikekalkan.

“JKKMAR dipertanggungjawabkan menyelaras pelaksanaan, memantau dan menilai keberkesanan semua inisiatif berkaitan governans, integriti dan anti-rasuah di semua sektor sama ada kerajaan mahupun swasta.

“Manakala Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) yang dilaksana di beberapa peringkat kementerian dan jabatan juga diteruskan bagi memastikan dasar dibuat tidak berkompromi kepada sebarang tindakan rasuah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau semua inisiatif di bawah JKKMAR dan NACP bagi memastikan pelaksanaannya membawa impak positif kepada negara.

Sumber: BH

Copyright © 2020 Ratunaga. All Rights Reserved.