Connect with us

BERITA

Langkah besar pastikan entiti korporat bebas rasuah

Published

on

Selepas lima tahun usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melihat penggubalan, penguatkuasaan dan pelaksanaan peruntukan undang-undang khusus berkaitan liabiliti korporat, akhirnya ia menjadi kenyataan.

Saya masih ingat antara syor digariskan Laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) – anggota dalam kalangan Ahli Parlimen – agar kerajaan meminda Akta SPRM 2009 bagi memasukkan peruntukan berkaitan liabiliti korporat.

Untuk rekod JKMR yang pernah saya anggotai adalah satu daripada lima badan bebas ditubuhkan di bawah Akta SPRM untuk memantau fungsi dan perjalanan suruhanjaya itu yang dibentuk 13 tahun lalu.

Ia juga bertujuan memastikan fungsi SPRM dalam mencegah rasuah itu dan memenuhi matlamat disasarkan.

Dari segi usia perjalanan SPRM, pengenalan peruntukan liabiliti korporat dalam Akta SPRM, ia pencapaian harus dipuji dan dialu-alukan semua pihak inginkan persekitaran bebas rasuah, terutama sektor korporat.

Rasuah tidak mengenal sektor. Ia membabitkan orang perseorangan dan organisasi, sama ada komersial ataupun bukan. Tanggapan sebelum ini ‘korporat memberi, sektor awam menerima’. Kita perlu menghapuskan persepsi sedemikian.

Kita bukan sahaja disajikan laporan media bahawa kelompok individu didakwa di mahkamah, malah kecurangan organisasi kor- porat terbabit salah laku rasuah dan penyelewengan juga sering dilaporkan.

Bermakna sudah tiba masa perlu ada kerangka perundangan lebih menyeluruh dalam perkara ini. Menyediakan peruntukan dengan tegas menekankan pengurusan organisasi atau entiti korporat juga mempunyai tanggungjawab memastikan persekitaran bebas rasuah lebih menyeluruh dapat dicapai.

Sudah lebih sebulan Seksyen 17A Akta SPRM 2018 dimaksudkan, dikuatkuasakan meskipun ada desakan dan cadangan agar ditangguhkan buat sementara waktu, sekurang-kurangnya setahun lagi atas alasan negara masih berdepan kesan wabak COVID-19.

Impak wabak turut menggugat operasi sektor korporat. Meskipun negara berdepan impak COVID-19, kerajaan memperlihatkan ketegasan dan komitmen membanteras rasuah, mengumumkan penguatkuasaan peruntukan liabiliti korporat membabitkan organisasi komersial.

Pindaan itu berkuat kuasa 1 Jun. Semua pihak berkepentingan diberikan satu tempoh ‘bertenang’ dua tahun untuk membuat segala persiapan dan persediaan menghadapi persekitaran baharu korporat, iaitu ke arah bebas salah laku rasuah.

Jadi, tiada lagi alasan mengatakan sektor korporat tidak bersedia dan menggunakan impak COVID-19 sebagai helah penangguhan. Sepatutnya normal baharu yang diamalkan menjadi asas kukuh untuk menerima penguatkuasaan peruntukan liabiliti kor- porat.

Kita wajar mengadaptasikan operasi dalam persekitaran baharu ini. Bahkan pelaksanaan Seksyen 17A Akta SPRM 2018 ini mendapat pelbagai pujian dan keyakinan tinggi kalangan anggota Majlis Penasihat Anggota Asia Pasific (MAC) Pertubuhan Pusat Dagangan Dunia (WTCA), yang saya terpilih buat julung kali dalam sejarah Malaysia untuk mengetuainya dalam pemilihan kalangan anggota pertubuhan baru-baru ini.

Seksyen 17A satu peruntukan yang menetapkan prinsip liabiliti korporat yang organisasi komersial akan dianggap melakukan suatu kesalahan jika mana-mana pekerja dan/atau pihak bersekutunya melakukan rasuah untuk faedah organisasi.

Organisasi terbabit boleh disifatkan bersalah dalam keadaan sama ada atau tidak, pihak pengurusan atasan atau wakil tahu terhadap kelakuan rasuah dilakukan pekerja atau pihak bersekutu.

Seperti diharapkan, peruntukan baharu ini sudah pasti mendorong organisasi komersial mengambil langkah wajar dan selari bagi memastikan urus niaga atau perniagaan dijalankan dengan berintegriti dan tanpa rasuah.

Ia juga bertujuan menggalakkan perniagaan dijalankan dalam persekitaran bebas rasuah dan menggalakkan organisasi komersial mengambil langkah bersesuaian dan selari, bagi memastikan perniagaan tidak terbabit aktiviti rasuah untuk tujuan kepentingan dan matlamat mereka.

Jika sesebuah organisasi komersial disabit kesalahan mengikut Seksyen 17A, hukuman boleh dikenakan adalah denda tidak kurang 10 kali ganda nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana lebih tinggi atau dipenjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun organisasi korporat boleh membela diri jika dapat menunjukkan mereka mempunyai ‘tatacara mencukupi’ dalam operasinya.

Penalti kesalahan ini dipercayai meningkatkan kesedaran semua pihak agar menjauhi sebarang bentuk salah laku berkaitan.

Bagi membolehkan semua pihak memahami dengan mendalam dan menghayati semangat peruntukan ini, kerajaan mengeluarkan satu garis panduan khas.

Ia bertujuan membantu organisasi komersial memahami kaedah pelaksanaan tatacara mencukupi yang boleh dilaksanakan bagi mencegah berlaku rasuah berkaitan aktiviti perniagaan.

Garis panduan diwujudkan ber- asaskan lima prinsip utama yang boleh dijadikan asas rujukan oleh organisasi komersial untuk melaksanakan apa-apa dasar, prosedur dan langkah kawalan berkaitan antirasuah bersesuaian ke arah mencapai matlamat mempunyai tatacara mencukupi seperti dikehendaki undang-undang.

Tahun lalu, Malaysia berjaya memperbaiki reputasi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) apabila melonjak 10 tangga. Ia dikaitkan impak usaha berterusan diambil kerajaan dalam memerangi rasuah.

Awal tahun lalu kerajaan memperkenalkan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bagi meningkatkan usaha memerangi rasuah secara menyeluruh.

Dalam pada itu, sejurus selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut menzahirkan komitmen kerajaan tidak akan mengetepikan usaha membanteras rasuah.

Pendirian sama dizahirkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah Siri 12 Bilangan 2 Tahun 2020 baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan NACP 2019-2023 bagi memastikan hasrat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan.

Malaysia berada dalam landasan tepat merealisasikan hasrat menjadi negara bebas rasuah. Perkembangan sejak kebelakangan ini juga menunjukkan banyak pihak mula menerima keperluan peruntukan Seksyen 17A, tidak kira sektor awam atau swasta.

Diyakini pelbagai usaha diambil akan membawa hasil cukup baik. Tidak dapat dinafikan inisiatif ini memerlukan masa untuk dilihat kesan dan impak.

Apa yang penting, kita perlu ada komitmen dan iltizam untuk mencapai sasaran persekitaran bebas rasuah di semua peringkat dan sektor.

Sumber: BH

Copyright © 2020 Ratunaga. All Rights Reserved.