Connect with us

BERITA

Al Jazeera nafi dokumentari tidak tepat

Published

on

KUALA LUMPUR: Agensi media antarabangsa, Al Jazeera menafikan dakwaan dokumentarinya bertajuk ‘East 101: Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ sebagai tidak tepat, mengelirukan serta tidak adil.

Dalam satu kenyataan malam tadi, agensi berita itu menegaskan bahawa laporan menerusi dokumentari terbabit berpegang kepada profesionalisme, kualiti dan kewartawanan yang tidak berat sebelah.

“Episod ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’, mengandungi pandangan dan pengalaman individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk doktor dan petugas barisan hadapan Malaysia.

“Al Jazeera mengiktiraf bahawa tindakan Malaysia berjaya membendung penularan COVID-19.

Program itu jelas menunjukkan, usaha kemanusiaan dilakukan oleh organisasi Malaysia yang menyediakan bantuan secara terus kepada warga asing yang memerlukan.

“Episod itu juga tidak mengandungi pendapat peribadi daripada mana-mana kakitangan Al Jazeera,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Al Jazeera berusaha mendapatkan kenyataan kerajaan, memohon mengadakan temubual bersama pegawai kanan kerajaan serta menteri, namun permohonan itu tidak diterima.

Malah, Al Jazeera cuba menghadiri sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun hanya media rasmi sahaja dibenarkan.

“Walaupun usaha menemubual pegawai kerajaan tidak berjaya, Al Jazeera masih manghasilkan dokumentasi yang seimbang dengan memasukkan kenyataan Menteri Kanan dari dua sidang medianya,” katanya.

Agensi berita itu turut melahirkan kebimbangan dengan siasatan polis terhadap kakitangannya.

Justeru, Al Jazeera meminta pihak berkuasa Malaysia supaya berhenti menjalankan sebarang siasatan jenayah berhubung perkara terbabit.

“Al Jazeera English sedia menemubual wakil kerajaan Malaysia yang ingin memberi maklum balas terhadap perkara yang ditimbulkan dalam dokumentari berkenaan,” katanya.

Ismail Sabri dalam sidang medianya sebelum ini menegaskan Malaysia mengecam laporan Al Jazeera yang membuat tuduhan membuta tuli terhadap usaha negara ini dalam mengawal penularan COVID-19, membabitkan warga asing.

Beliau berkata, laporan media berkenaan jelas tidak tepat dan berniat memburuk-burukkan nama baik Malaysia.

Katanya, tuduhan Malaysia tidak memberi layanan yang adil kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan adalah tidak benar, sebaliknya tindakan yang dibuat berdasarkan undang-undang.

Sumber: BH

Copyright © 2020 Ratunaga. All Rights Reserved.