Ratunaga

5 Sejarah Menakutkan Disebalik Lagu Kanak-Kanak Barat (Nursery Rhyme)

[ad_1]

lagu kanak kanak nursery rhyme asal usul

Sejak kecil, masyarakat kita walaupun bukanlah berketurunan Inggeris – didedahkan dengan lagu kanak-kanak atau ‘nursery rhyme’ barat yang mempunyai melodi ringkas serta bersahaja.

Liriknya pula? Besar kemungkinan ramai antara kita menyanyikannya tanpa peduli apa yang kita nyanyikan, kerana senikatanya seakan tidak membawa makna apa-apa.

Tetapi tahukah anda makna sebenar di sebalik senikata lagu kanak-kanak popular yang sering menjadi dodoian kita itu?

1. Sejarah Lagu Baa Baa Black Sheep

baa baa black sheep

Lagu ini sebenarnya berkait sistem ekonomi Inggeris, abad ke 13.

Kegiatan penternakan biri-biri menjadi antara aktiviti ekonomi utama masyarakat mereka, menjadikan biri-biri sebagai komoditi yang cukup penting.

Bagi golongan bangsawan, adalah menjadi kebiasaan untuk mereka menggajikan seorang kanak-kanak sebagai pengembala kambing, untuk dibawa meragut rumput dan memastikan tidak ada yang lari.

Raja Edward I memperkenalkan sistem cukai pada abad ke 13 yang dikenali sebagai ‘maltolt’ atau ‘cukai jahat’ disebabkan oleh keperluan menampung belanja perang yang telah dikeluarkan. Antara barangan yang dicukaikan, adalah bulu biri-biri.

Sebagai salah satu kaedah protes, masyarakat Inggeris mencipta lagu ini yang sebenarnya rungutan tersirat kepada cukai tersebut; memetik 1/3 hasil jualan bulu biri-biri perlu diserahkan kepada ‘master’ iaitu Raja Edward I dan 1/3 lagi untuk gereja atau ‘dame’.

Dalam senikata asalnya, lirik ‘none for the little boy’ untuk kanak-kanak yang ditugaskan mengembala biri-biri digunakan, sebelum ditukar kepada ‘one for the little boy’ sekitar abad ke 16.

2. Sejarah Lagu Humpty Dumpty

humpty dumpty ch251

Ramai gemar menyanyikan lagu ini sambil membayangkan watak telur yang duduk di atas tembok lalu terjatuh.

Ini imej yang telah ditanam dalam kepala kita setiap hari.

Realitinya, ‘Humpty Dumpty’ dipercayai merujuk kepada sebuah meriam bernama ‘Humpty Dumpty’ yang digunakan semasa perang saudara Inggeris berlaku pada pertengahan abad ke 17.

Pertempuran hebat antara tentera yang setia dengan raja melawan pemberontak memaksa meriam tersebut dibawa ke atas tembok, ketika sebuah perang yang dikenali sebagai Perang Glouchester.

‘Humpty Dumpty’ sebuah meriam binaan Belanda, dipasang didinding sebuah gereja bernama Llanthony Secunda dengan harapan dapat melindungi pekan tersebut daripada pencerobohan.

Bagaimanapun, impak akibat tembakan meriam tersebut serta serangan daripada pihak pemberontak mengakibatkan dinding yang menampung ‘Humpty Dumpty’ runtuh.

Meriam tersebut retak tanpa ada sesiapa pun di kalangan tentera Raja Charles I mampu membaikinya.

Fakta sebenar asal-usul lagu tersebut masih belum ditemui, namun setakat ini kisah sejarah meriam inilah merupakan pendapat yang paling popular.

3. Sejarah Lagu Rock A Bye, Baby

rock a bye baby asal usul 954

Lagu yang cukup popular dinyanyikan semasa mendodoikan bayi ini mempunyai banyak asal-usul berlainan.

Ini kerana liriknya juga jika dikaji, tidak masuk akal – menceritakan berkenaan bayi yang didodoikan dalam buaian yang akhirnya jatuh.

Pendapat paling popular berkaitan penciptaan lagu ini dikatakan berpunca daripada tabiat masyarakat orang asal Amerika yang gemar mendodoikan anak mereka digantungkan pada batang pokok.

Perbuatan itu memberi inspirasi kepada penulis Inggeris yang hadir ke situ semasa zaman penjajahan dalam penciptaan sajak yang akhirnya dilagukan.

Ada juga pendapat menyebut lagu ini sebenarnya satu kisah tersirat berkait persepsi masyarakat Inggeris beraliran Protestan terhadap pemerintah mereka sekitar abad ke 17 iaitu Raja James II, yang dibenci serta diharap dapat dijatuhkan.

Mereka dikatakan mencipta sajak tersebut sebagai harapan agar pewaris kepada Raja James II mati terbunuh agar James II tiada pewaris takhta, yang akan menamatkan legasi pemerintahan beliau.

Ada banyak lagi pendapat berkait dengan asal-usul lagu ini yang tidak dapat dibuktikan.

Apa yang kita benar-benar tahu, melodi kepada sajak ini dihasilkan oleh seorang komposer bernama Effie I. Canning pada tahun 1872, semasa dia menjaga seorang bayi.

Irama yang terhasil serta sajak yang tidak jelas apa maknanya itulah yang dinyanyikan setiap hari oleh ramai orang, untuk menidurkan bayi mereka.

4. Sejarah Lagu London Bridge Is Falling Down

london bridge is falling down

Di antara semua kisah dalam asal-usul lagu kanak-kanak, rasanya lagu ‘London Bridge Is Falling Down’ paling jelas kisahnya.

Kisah paling popular berkaitan dengan jambatan di London ini berkait dengan serangan orang Viking yang diketuai oleh Olaf Haraldsson, berlaku sekitar awal abad ke 11.

Pemerintahan Inggeris dibawah kuasa Raja Ethelred the Unready sebagai usaha berdepan serangan orang Viking, berkumpul dan memusatkan pertahanan mereka di London.

Mereka menambahbaik sebuah binaan jambatan di lokasi strategik yang berjaya menghalang pencerobohan melalui jalan air.

Raja Ethelred tewas tetapi kedudukan beliau terselamat, selepas orang Viking bersetuju untuk menerima bayaran ufti serta diberikan kedudukan komander dalam tentera Inggeris.

Perjanjian itu yang dilakukan tanpa kebenaran Raja Denmark, Swein Forkbeard dianggap satu pengkhianatan.

Jadi Raja Swein menggempur London lalu berjaya mengusir keluar Raja Ethelred.

Ekoran kerjasama antara Raja Ethelred dan orang Viking lebih awal serta kedudukan orang Viking sebagai komander tentera Inggeris, satu operasi merampas semula London dibuat selepas kematian Raja Swein.

Olaf Haraldsson, salah seorang komander tentera diberikan tanggungjawab mengetuai serangan pada tahun 1014, meruntuhkan jambatan London yang menjadi benteng utama pertahanan.

Berdayung melawan arus, tentera kendalian Olaf tiba di jambatan tersebut dari arah bertentangan, berjaya mencangkukkan tali yang diikatkan pada bot mereka.

Tali yang dirental melemahkan struktur jambatan itu seterusnya memecah belahkan kedudukan tentera Denmark.

Strategi berani mati itu berjaya membolehkan nama Olaf diabadikan dalam sajak orang Viking hasil nukilan seorang penyair bernama Ottar Svarte, yang menjadi asas kepada lagu kanak-kanak yang ada sekarang sebelum liriknya diubah.

Banyak pertukaran perkataan di dalamnya menenggelamkan terus makna asal sajak tersebut, yang sebenarnya sangat berkait dengan peperangan.

5. Sejarah Lagu Jack and Jill

jack and jill kisah rakyat england

Pernahkah anda tertanya-tanya siapa Jack dan Jill serta kenapa mereka memanjat bukit untuk mengambil air?

Mari kita rungkaikan. Jangan terkejut pula ya!

Sebuah kampung di England bernama Kampung Kilmersdon di Somerset, sehingga ke hari ini mempunyai sebuah bukit yang dinamakan Bukit Jack and Jill.

Masyarakat kampung itu percaya lagu tersebut sebenarnya dicipta nenek moyang mereka, untuk menceritakan berkenaan satu kejadian yang telah berlaku sekitar abad ke 17.

Jack dan Jill adalah pasangan yang berasal dari kampung tersebut, tidak berkahwin namun gemar bertemu dan bermesra di atas bukit bagi menyembunyikan aktiviti mereka.

Untuk melindungi apa yang mereka lakukan, mereka berlakon seolah-olah mahu mengambil air dengan membawa baldi.

jack and jill hill england 411

Kegiatan kedua-duanya terbongkar selepas Jill mengandung, dengan banyak pihak yakin Jack adalah ayah kepada kandungan itu.

Bagaimanapun, hayat Jack tidak panjang selepas satu kejadian tanah runtuh mengakibatkan batu menghentak kepalanya. Jack meninggal dunia tidak sempat melihat anaknya.

Jill yang sedih kehilangan pasangannya meninggal dunia tidak lama selepas melahirkan anaknya.

Anak yatim piatu itu digelarkan sebagai ‘Jill son’s’ (anak lelaki Jill) dibesarkan oleh penduduk Kampung Kilmersdon dan keturunannya dikatakan terus wujud hingga sekarang, dengan nama keluarga Gilson.



[ad_2]
Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular