Ratunaga

5 Bekas Pekerja Tesla Yang Kini Jadi Pesaing Ketat Elon Musk

Paypal yang ditubuhkan Elon Musk dan beberapa pengasas lain bukan sahaja terkenal kerana mempelopori sistem pembayaran elektronik tetapi juga kerana mencipta ‘mafia’ sendiri. Mafia yang dimaksudkan ini merujuk kepada bekas majikan yang memulakan atau membiayai syarikat-syarikat besar dan kemudian menjadi pesaing seperti Yelp, Affirm dan LinkedIn.

elon musk don corleone mafia the godfather

Perkara ini berlaku sekali lagi kepada Elon Musk di Tesla. Dia secara tidak langsung telah melahirkan “musuh-musuhnya” sendiri yang akan memberi saingan hebat terhadap Tesla.

Beberapa bekas majikan Tesla telah membangunkan dan menyertai beberapa syarikat seperti pembuat kenderaan elektrik, bateri dan jentera berat. Mereka bakal memberi kesan terhadap industri automobil global bernilai RM 24.5 trilion pada masa akan datang.

Jika dilihat pada sudut lain, perkara ini sebenarnya satu pesaingan sihat yang mampu membuka mata Tesla supaya lebih berdaya saing berbanding selesa pada keadaan sekarang. Berikut adalah lima “Mafia” yang bakal menjadi pesaing hebat Elon Musk.

Sterling Anderson 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Produk – Aurora Innovation

sterling anderson aurora innovation

Anderson tiba di Tesla pada tahun 2013 untuk bekerja dengan kereta Model X. Dia membantu melancarkan teknologi pemanduan sendiri Tesla dengan mengetuai bahagian perkembangan ciri Autopilot syarikat itu.

Anderson berkata, dia mempunyai ikatan yang kuat dengan Tesla apabila bersusah payah membangunkan teknologi itu dalam persekitaran kerja yang mempunyai tekanan tinggi.

Saintis lepasan MIT itu meninggalkan Tesla pada 2016 untuk memulakan syarikat pemanduan automatik sendiri iaitu Aurora Innovation. Dia telah disertai oleh bekas ketua bahagian pemanduan automatik Google, Chris Urmson, dan penyelidik AI dari Universiti Carnegie Mellon, Drew Bagnell.

Aurora Innovation telah mengumpulkan dana lebih daripada RM 4 bilion dan pada Disember 2020, mereka memperolehi unit autonomi Uber. Ini meningkatkan kemungkinan untuk menjadi pemain utama dalam teknologi kenderaan autonomi. Selain Uber, mereka juga bekerjasama dengan pembuat trak Paccar dan Toyota.

Gene Berdichevsky

Pengasas bersama dan CEO – Sila Nanotechnologies

gene berdichevsky sila nanotechnologies

Berdichevsky adalah pekerja ketujuh yang menyertai Tesla. Dia bermula pada 2004 sebagai jurutera utama bateri kereta Roadster yang merupakan percubaan pertama Tesla dalam penghasilan kereta elektrik untuk pasaran umum.

Apabila Roadster dilancarkan, Berdichevsky lebih berminat untuk mencari cara baru menghasilkan bateri lithium-ion yang lebih murah dan efisien. Dia dalam dilema sama ada mahu kekal bersama Tesla dan memulakan projek Model S atau menubuhkan syarikat sendiri. Berdichevsky akhirnya meninggalkan Tesla pada 2008 dan menubuhkan Sila Nanotechnologies pada 2011.

Di Sila Nano, Berdichevsky berjaya membangunkan anod berasaskan silikon bagi menggantikan grafit yang lebih mahal. Bahan itu mampu menjadikan bateri yang digunakan Tesla dan syarikat kenderaan elektronik lain 20% lebih efektif dan meningkatkan prestasi sebanyak 50%.

Kini, Sila Nano berjaya mengumpul dana sebanyak RM 3.78 bilion dan syarikat itu dianggarkan bernilai RM 13.44 bilion pada Januari 2021. Kilang berskala besar Sila Nano dijangka akan dibuka pada 2024.

Henrik Fisker

Pengasas bersama dan CEO – Fisker Inc.

henrik fisker 655

Fisker merupakan pereka terkenal yang pernah menggayakan BMW untuk James Bond dan mengetuai studio reka bentuk Aston Martin. Dia telah diambil bekerja oleh Elon Musk untuk kereta Model S Tesla.

Namun, Musk tidak menyukai rekaannya dan telah menyaman Fisker pada 2008 kerana melanggar kontrak dan mendakwa pereka Denmark itu menerima tawaran kerja kerana ingin mengintip Tesla (Fisker menafikan dakwaan ini).

Kali pertama Fisker cuba menjadi pesaing Tesla adalah dengan menghasilkan kereta mewah, Karma, namun gagal atas beberapa masalah teknikal. Lebih malang, salah satu penghantaran kereta melalui laut hilang akibat taufan pada 2012. Dia akhirnya menutup Fisker Automotive pada 2014.

Dia kemudian kembali dengan syarikat baru, Fisker Inc. Dia bekerjasama dengan pesaing Tesla iaitu Magna dalam penghasilan SUV elektrik, Ocean, yang akan dijual pada harga bermula dari RM 152,000.

Setakat ini, Fisker Inc. berjaya mengumpul permodalan pasaran sebanyak RM 16.3 bilion dan sekitar RM 4 bilion tunai untuk pembangunan produk. Menurut Fisker, pengumpulan dana awal adalah penting berdasarkan pengalaman kegagalan Fisker Automotive.

Peter Rawlinson

Pengasas bersama dan CEO – Lucid Motors

peter rawlinson dan lucid air

Rawlinson, seorang veteran Jaguar dan Lotus telah menyertai Tesla pada tahun 2009. Dia yang dilantik sebagai ketua jurutera untuk Model S begitu rapat dengan Elon Musk pada mulanya kerana mempunyai visi dan obsesi yang sama dalam teknologi.

Namun, dia terpaksa berhenti untuk menguruskan ibunya yang sakit dan pada masa sama berasa kecewa dengan Musk dalam program pembangunan Model X.

Rawlinson kemudian menubuhkan Lucid Motors, sebuah syarikat kenderaan elektrik yang berpangkalan di Newark, California dengan dana berjumlah RM 5.3 bilion dari Arab Saudi.

Lucid Motors telah melancarkan model sedan eletrik mewah, Lucid Air, yang mampu bergerak sejauh 800km sekali cas pada harga RM 688,000. Rawlinson berkata, dia tidak bersaing dengan Tesla tetapi dengan Mercedes-Benz.

JB Straubel

Pengasas dan CEO – Redwood Materials

jb straubel

Seperti Elon Musk, Straubel merupakan pengasas bersama Tesla. Dia adalah ketua pegawai teknologi sejak mula sehinggalah tahun 2019. Impian awalnya adalah untuk menghasilkan kereta elektrik bagi mengurangkan pencemaran karbon.

Kini, dia memberi tumpuan kepada syarikat sendiri, Redwood Materials. Syarikat itu fokus untuk memastikan lithium, kobalt dan nikel yang terdapat dalam bateri kereta elektrik seperti Tesla dan syarikat lain tidak dilupuskan dengan cara salah dan mencemari bumi.

Syarikat Carson City yang berpusat di Nevada telah mengumumkan pemberian dana sebanyak RM 163 juta kepada Redwood Materials. Mereka menerima dana itu apabila mula mengerjakan projek kitar semula dengan Panasonic dan Amazon.

Forbes menganggarkan Strauble mempunyai nilai bersih sebanyak RM 4 bilion. Ini disebabkan dia masih mempunyai sebahagian saham di Tesla dan QuantumScape, syarikat pembuat bateri yang dibiayai oleh Bill Gates.




Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular