Ratunaga

10 Budaya Kerja Yang Pelik-Pelik di Google

Anda pasti pernah mendengar atau terbaca kisah tentang betapa hebatnya bekerja di Google. Tambahan pula, syarikat induk Google iaitu Alphabet merupakan salah satu daripada empat syarikat paling bernilai di dunia.

Disebabkan persekitaran hebat, gaji lumayan dan pengalaman luar biasa, Google menerima jutaan permohonan setiap tahun tetapi hanya segelintir sahaja yang diterima. Namun, tidak semuanya di Google sehebat seperti yang disangkakan. Berikut adalah beberapa fakta mengejutkan mengenai budaya kerja di Google.

10. Pelbagai gelaran pelik

nooglers pekerja baru google

Noogler akan memakai topi pelangi Google

Setiap pekerja Google dikenal pasti dengan pelbagai nama panggilan pelik. Berikut adalah beberapa di antaranya:

  • Googler – Gelaran bagi setiap pekerja Google.
  • Noogler (Newgler) – Gelaran bagi pekerja baharu.
  • Gaygler – Gelaran pekerja LGBT atau yang menyokong gerakan ini.
  • Greygler – Gelaran pekerja berusia atas 40 tahun.
  • Doogler – Gelaran anjing pekerja atau pekerja yang memiliki anjing.
  • Brewgler – Gelaran pekerja yang gemar minum bir.
  • Jewgler – Gelaran pekerja berbangsa Yahudi.
  • Xoogler (Zoogler) – Gelaran kepada bekas pekerja Google.

9. Tiada lagi “Masa 20%”

pejabat google 483

Bagi yang tidak tahu, “Masa 20%” itu adalah kebebasan yang diberikan Google kepada pekerja untuk membangunkan projek sendiri selain kerja utama. Contohnya, empat hari untuk kerja utama dan satu hari untuk projek sendiri.

Banyak perkhidmatan Google yang berjaya seperti AdSense, Gmail dan Google News dibangunkan oleh pekerja menggunakan “Masa 20%” mereka. Namun, kelebihan popular ini telah mengecewakan ramai pekerja baru.

Secara teknikalnya ia masih wujud tetapi hanyalah di atas kertas. Sudah bertahun-tahun lamanya pekerja tidak mendapat kelebihan itu dan mendakwa bahawa “Masa 20%” itu sebenarnya wujud dalam 120% masa bekerja. Ini bermakna, mereka perlu melakukan projek sendiri pada waktu cuti.

8. “Google 15” dalam tahun pertama

kantin google

Setiap pekerja akan mendapat tiga hidangan percuma setiap hari. Selain itu, buah-buahan dan makanan ringan juga sentiasa disediakan sepanjang hari. Ini menyebabkan kebanyakan pekerja Google akan bertambah berat badan sebanyak 15 paun (6.8kg) pada tahun pertama bekerja dan ini dikenali sebagai “Google 15”.

Khabar angin mengatakan bahawa Google menawarkan begitu banyak makanan kerana pengasasnya, Serge Brin, mahukan setiap pekerjanya sentiasa berada dalam lingkungan 50 meter daripada makanan.

7. Soalan temuduga yang pelik

fakta mengejutkan google

Google juga terkenal kerana sentiasa memberikan soalan temuduganya yang pelik kepada calon yang hadir. Antara soalan-soalan pelik yang pernah diajukan Google adalah seperti:

  • Berapakah jumlah bola tenis yang boleh dimuatkan dalam sebuah kapal terbang?
  • Berapakah jumlah buku yang diterbitkan di Amerika setiap tahun?
  • Berapa orangkah yang memotong rambut di Amerika setiap tahun?
  • Berapakah jumlah penyedut vakum yang dihasilkan di Amerika setiap tahun?
  • Bagaimana menyelesaikan masalah gelandangan di Amerika jika anda mempunyai kuasa?
  • Bagaimana anda boleh membina mesin teler automatik (ATM) untuk golongan warga emas?
  • Mengapa lurang (manhole) di jalan raya berbentuk bulat?

6. Tahap dan tangga pangkat

tangga pangkat google

Setiap pekerja baru akan ditugaskan kepada tangga pangkat tertentu apabila diterima masuk. Sebagai contoh, pekerja di Bahagian Perniagaan hanya boleh dinaikkan pangkat melalui “Tangga O” sahaja. Bahagian Jurutera pula hanya boleh dinaikkan pangkat melalui “Tangga T” sahaja.

Manakala Tahap (level) itu pula merujuk kepada seberapa senior anda dalam sesuatu jawatan itu.

Tangga T merupakan tangga paling lumayan dan menjadi impian ramai. Rata-rata pekerja di bahagian lain ingin berpindah ke bahagian jurutera. Namun, proses penukaran tangga pangkat ini amatlah rumit. Bagi yang berjaya, mereka sering diturunkan ke tahap yang lebih rendah dalam jawatan walaupun layak.

5. Proses penilaian tahunan yang rumit

penilaian tahunan pekerja

Google mempunyai kaedah penilaian tahunan pekerja yang kompleks. Semua orang perlu menilai orang lain sama ada pegawai atau pekerja bawahan. Google menggelarnya sebagai “Maklum Balas 360 Darjah”.

Pekerja akan dinilai setiap bulan dan enam bulan sekali. Penilaian enam bulan kali kedua (penilaian utama) yang dilakukan sekitar November akan menentukan nasib seseorang pekerja itu.

Bagi penilaian utama, pekerja perlu menyenaraikan pencapaian mereka tidak melebihi 512 patah perkataan. Senarai ini akan dinilai oleh semua pekerja sama ada anda mempunyai kebolehan untuk memimpin, menyelesaikan masalah, bekerja sendiri dan mempunyai pendapat yang bernas.

Anda boleh melihat ulasan yang diberikan oleh rakan sekerja tetapi identiti pengulas akan dirahsiakan. Pihak atasan akan menggunakan penilaian ini untuk menentukan jika anda layak dinaikkan pangkat atau gaji.

4. Fail kenaikan pangkat

sundar pichai ceo google 838

Sundar Pichai – CEO Google

Kenaikan pangkat agak mudah di Google sehinggalah pengurus anda tidak boleh menaikkan anda lagi. Sebarang kenaikan selepas itu hanya mengikut budi bicara pihak atasan berdasarkan fail kenaikan pangkat anda. Fail ini mengandungi senarai pencapaian, ulasan positif penilaian tahunan dan beberapa esei mengapa anda layak.

Proses ini kedengaran mudah dan telus tetapi ia melibatkan birokrasi yang rumit. Sistem ini juga tidak begitu adil kerana beberapa faktor. Contohnya, kejayaan Pekerja A yang membantu projek Pekerja B tidak akan diambil kira kerana itu bukan projek mereka.

Sebaliknya, Pekerja B mendapat nama kerana pihak atasan menganggap Pekerja B mempunyai visi dan kepimpinan yang kuat sehingga berjaya memujuk orang lain meninggalkan projek mereka untuk membantu orang lain.

Sistem ini juga sering dimanipulasikan. Ramai menolak kerja sukarela atau membantu orang lain tetapi pada masa yang sama khuatir kerana projek utama mereka juga berisiko dibatalkan separuh jalan, diserahkan kepada pasukan lain atau mereka ditukar ke bahagian lain.

3. Tinggal dalam kereta

kereta google

Silicon Valley merupakan pusat banyak syarikat teknologi yang terletak di San Francisco Bay kini mengalami krisis perumahan. Sewa rumah begitu mahal sehingga menyebabkan kebanyakan pekerja Google yang bergaji besar pun tidak mampu menyewa di situ.

Masalah ini berlaku kerana ramai yang sanggup membayar harga tinggi untuk tinggal berdekatan pejabat. Kini, majoriti pekerja di Silicon Valley tinggal jauh kerana harga yang lebih murah tetapi terpaksa menempuhi lalu lintas yang sesak berjam-jam lamanya.

Malah, ada yang sanggup tinggal dalam trak atau kereta yang diletakkan berhampiran pejabat bagi menjimatkan masa serta kos. Ramai yang enggan berbicara tentang krisis ini kerana takut akan menimbulkan masalah dengan majikan kelak.

2. Layanan buruk

pekerja sementara google

Google terkenal kerana kecantikan pejabatnya, makanan percuma dan gaji lumayan. Di sebalik semua kehebatan itu, tidak semuanya indah terutamanya jika anda seorang pekerja sementara atau kontrak.

Sehingga Mei 2020, Google mempunyai 123,000 pekerja tetap dan 130,000 pekerja sementara/kontrak. Terdapat dakwaan bahawa layanan yang diterima pekerja sementara/kontrak adalah berbeza berbanding pekerja tetap walaupun melakukan kerja yang sama sepenuh masa.

Mereka menerima gaji dan faedah yang lebih rendah berbanding pekerja tetap. Mereka juga perlu melakukan kerja lebih masa tanpa bayaran. Selain itu, mereka tidak boleh menyertai mesyuarat syarikat, menghadiri jamuan atau memohon kerja dalaman sebagai pekerja tetap.

Pekerja sementara/kontrak juga tidak boleh menggelarkan diri mereka sebagai “Googler” dan boleh dipecat tanpa sebarang alasan atau penjelasan munasabah.

1. Tidak boleh menubuhkan atau menyertai persatuan pekerja

tunjuk perasaan pekerja google

Pekerja tetap atau sementara tidak dapat melawan dasar kontroversi syarikat itu kerana Google tidak membenarkan mereka menubuhkan atau menyertai mana-mana persatuan pekerja. Google tidak menyatakannya secara langsung tetapi menggunakan banyak taktik halus untuk menghalang mereka bersatu.

Salah satu taktik adalah dengan mengupah pakar perunding anti kesatuan untuk menangani masalah para pekerja. Pakar perunding ini juga akan memberi nasihat kepada pihak atasan mengenai cara bertindak balas terhadap rungutan pekerja.

Salah satu pakar perunding itu adalah IRI Consultants. Syarikat yang terkenal dengan kegiatan anti kesatuan pekerja ini mendakwa telah membantu banyak syarikat korporat menghentikan usaha pekerja menuntut keadilan. Namun, Google menafikan IRI Consultants mempunyai pengaruh terhadap dasar syarikat mereka.




Source link

Add comment

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most popular